WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memohon Mahkamah Agung AS menghidupkan semula saman yang difailkannya terhadap bekas pencabarnya dalam pilihan raya 2016, Hillary Clinton, berhubung dakwaan konspirasi mengaitkan kempennya dengan Rusia.
Permohonan itu dibuat selepas mahkamah persekutuan menolak saman berkenaan dan mengenakan penalti hampir AS$1 juta terhadap Trump serta seorang peguamnya kerana memfailkan tindakan undang-undang yang disifatkan sebagai tidak berasas.
Trump sebelum ini mendakwa Clinton, bekas Pengarah FBI James Comey dan beberapa pihak lain bersekongkol untuk menjejaskan reputasinya menjelang pilihan raya 2016 melalui dakwaan hubungan antara kempen beliau dan Rusia.
Dalam rayuannya, pasukan guaman Trump berhujah bahawa campur tangan Mahkamah Agung diperlukan bagi melindungi institusi presiden daripada apa yang disifatkan sebagai penggunaan sekatan mahkamah terhadap presiden dan peguamnya.
Hakim Daerah AS, Donald Middlebrooks, sebelum ini menolak saman itu dan menyifatkannya sebagai manifesto politik yang panjang mengenai rungutan Trump terhadap pihak yang menentangnya.
Mahkamah Rayuan Litar Ke-11 AS kemudian mengekalkan keputusan tersebut, termasuk penalti yang dikenakan.
Trump menafikan dakwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016, walaupun siasatan yang dijalankan sebelum ini mendapati terdapat campur tangan Rusia dalam proses berkenaan.