Skip to main content

Malaysia

44 telur penyu belimbing pendaratan pertama di Marang tidak tersenyawa - DOF

Adnan Hussain (kanan) memantau proses untuk pemeriksaan persenyawaan telur penyu belimbing yang dieram di hatcheri Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, malam tadi. - Gambar Bernama
Adnan Hussain (kanan) memantau proses untuk pemeriksaan persenyawaan telur penyu belimbing yang dieram di hatcheri Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, malam tadi. - Gambar Bernama

Advertisement

DUNGUN: Sebanyak 44 biji telur penyu belimbing daripada sarang pertama spesies itu yang mendarat di Pantai Pasir Putih, Marang pada 1 Sept lepas didapati tidak tersenyawa berdasarkan pemeriksaan teknikal yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pemeriksaan terhadap sarang berkenaan pada 30 Sept, iaitu hari ke-30 tempoh pengeraman mendapati telur yang diperiksa tidak menunjukkan bukti perkembangan embrio.

Beliau berkata, dapatan itu direkodkan dalam laporan teknikal yang disediakan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang, dekat sini pada 3 Okt lepas.

"Hasil pemeriksaan mendapati permukaan cangkerang tidak menemukan tompok putih yang lazim dikaitkan dengan perkembangan awal embrio.

"Ujian suluhan cahaya juga tidak menunjukkan pembentukan rangkaian saluran darah atau bayangan struktur embrio," katanya kepada pemberita selepas memeriksa telur penyu belimbing yang dieram di hatcheri Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, malam tadi yang turut dihadiri Pengarah Perikanan Terengganu, Pang Nyukang.

Secara keseluruhan, sebanyak lima pendaratan penyu belimbing direkodkan di pesisir pantai Terengganu sejak 1 Sept dengan menghasilkan 313 biji telur.

Selain itu, Adnan berkata, pemeriksaan turut menemukan perubahan warna telur kepada kehitaman dan kekuningan serta kehadiran mikroorganisma dan belatung yang menunjukkan berlakunya proses pereputan.

Beliau berkata, kegagalan telur penyu belimbing untuk disenyawakan menambah cabaran dalam usaha memulihara spesies penyu gergasi berkenaan.

“Perkembangan yang menjejaskan usaha pemuliharaan 'Raja Penyu' ini dipercayai bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut dihadapi negara lain,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, rekod pendaratan penyu belimbing di pantai Terengganu menunjukkan spesies itu pernah mendarat pada 2010 dan 2017 sebelum kembali direkodkan tahun ini selepas sembilan tahun.

Bagaimanapun, katanya, pendaratan pada 2010 dan 2017 juga tidak menghasilkan anak penyu kerana telur gagal menetas, manakala rekod terakhir penetasan berjaya di Rantau Abang adalah pada 2000.

"Pada 2000, sebanyak 1,914 biji telur penyu belimbing direkodkan, namun hanya 115 biji atau kira-kira enam peratus berjaya menetas," katanya.

Beliau berkata, sebagai perbandingan, penyu agar yang banyak mendarat di Pantai Timur mempunyai kadar penetasan tinggi kira-kira 70 hingga 75 peratus.

“Oleh itu, kita amat berhati-hati dalam mengendalikan telur penyu belimbing kerana kadar penetasannya rendah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement