Skip to main content

Malaysia

Anwar kecam serangan lapangan terbang Riyadh, nyatakan solidariti dengan Arab Saudi

Anwar berkata Malaysia berdiri teguh dengan Arab Saudi dan rakyatnya ketika konflik berterusan dan berharap usaha diplomatik dapat menghalang keadaan daripada terus meruncing. -Foto AP
Anwar berkata Malaysia berdiri teguh dengan Arab Saudi dan rakyatnya ketika konflik berterusan dan berharap usaha diplomatik dapat menghalang keadaan daripada terus meruncing. -Foto AP

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Arab Saudi, yang mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan ratusan yang lain.

Menerusi hantaran Facebook beliau hari ini, Anwar mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan mereka yang cedera agar segera sembuh.

"Tiada justifikasi untuk serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam. Membahayakan nyawa insan yang tidak bersalah hanya akan memburukkan lagi penderitaan akibat konflik ini dan membawa kesannya ke tempat-tempat yang sepatutnya tidak terjejas," kata beliau. 

Anwar berkata Malaysia berdiri teguh dengan Arab Saudi dan rakyatnya ketika konflik berterusan dan berharap usaha diplomatik dapat menghalang keadaan daripada terus meruncing.

"Malaysia teguh dalam solidariti dengan kerajaan Arab Saudi dan rakyatnya pada saat-saat yang genting ini. Kami kekal berpegang teguh dengan harapan agar diplomasi dan kewarasan akan mengatasi keadaan sebelum konflik ini merebak dengan lebih meluas," kata beliau.

Dalam kenyataan pada Ahad, pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi memaklumkan 12 orang terbunuh, manakala 309 lagi cedera dalam serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid pada Sabtu.

Mereka yang terkorban terdiri daripada empat warga Arab Saudi, dua rakyat Bangladesh dan seorang masing-masing dari Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement