Skip to main content

Malaysia

RCI bukan penentu penyiapan segera LCS - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled berkata pembuat kapal telah diminta menyegerakan kerja berkaitan dan memastikan isu kelewatan tidak lagi berulang. -Gambar fail/Bernama
Mohamed Khaled berkata pembuat kapal telah diminta menyegerakan kerja berkaitan dan memastikan isu kelewatan tidak lagi berulang. -Gambar fail/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bukan faktor utama penyiapan segera projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia.
  • Lumut Naval Shipyard menetapkan April 2027 sebagai tarikh baharu penyerahan LCS 1 kepada Kementerian Pertahanan selepas gagal memberi jaminan penyerahan pada Disember ini.
  • Kerajaan sedang berunding dengan beberapa negara untuk mendapatkan pembekal peluru berpandu permukaan-ke-permukaan bagi melengkapkan LCS 1 menggantikan Naval Strike Missile dari Norway.

KOTA TINGGI: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu kelewatan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bukan penentu kepada penyiapan segera aset pertahanan negara itu. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembuat kapal telah diminta menyegerakan kerja berkaitan dan memastikan isu kelewatan tidak lagi berulang.

“Soal kapal LCS 1 yang ada sekarang, siap atau tidak bukan bergantung pada RCI, ia soal lain. Kalau begitu nanti, tidak siap jugalah kapal itu. Jadi, sebab itulah kami minta supaya pembuat kapal sekarang menyegerakan kerja dan memastikan tiada lagi kelewatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Tuaian Pertama Halia KayTi JanaVeteran dan Pelancaran JanaKomuniti di Ladang Telok Sengat serta Felda Air Tawar di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian bagi mengulas gesaan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim supaya siasatan berkaitan projek LCS dipercepatkan dan tidak bergantung kepada RCI, susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 yang mendapati projek LCS lewat 7.55 peratus daripada jadual sehingga 25 Jun lepas.

Lumut Naval Shipyard (LUNAS), syarikat yang bertanggungjawab membina LCS 1 untuk Malaysia, menetapkan April 2027 sebagai tarikh baharu penyerahan kapal berkenaan bagi Fasa 1 kepada MINDEF. 

Tarikh baharu itu ditetapkan selepas LUNAS memaklumkan pihaknya tidak dapat memberikan komitmen dan jaminan sebelum ini bahawa LCS 1 boleh diserahkan pada Disember tahun ini.

Mohamed Khaled ketika mengulas mengenai aspek siasatan berkata perkara itu sewajarnya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak berkuasa berkaitan.

Beliau turut merujuk kepada tindakan mahkamah yang pernah dikenakan terhadap bekas Panglima Tentera Laut yang juga pernah memegang jawatan bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) berkaitan projek LCS.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan sedang berunding dengan beberapa negara yang disenarai pendek bagi mendapatkan pembekal peluru berpandu permukaan-ke-permukaan untuk LCS 1, bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) dari Norway.

Beliau berkata perolehan berkenaan tidak bergantung kepada peruntukan Belanjawan 2027 dan kementerian mahu memastikan LCS 1 tidak mengambil masa terlalu lama untuk dilengkapi sepenuhnya.

Menurut Mohamed Khaled, ketika ini kapal berkenaan telah mempunyai peluru berpandu permukaan-ke-udara, keupayaan permukaan-ke-bawah permukaan serta sistem jamming elektromagnetik, dengan peluru berpandu permukaan-ke-permukaan menjadi kelengkapan yang masih belum dimiliki.

-- BERNAMA

 

 

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Apakah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan mempercepatkan penyiapan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) TLDM? 
    A: Penubuhan RCI bukan penentu kepada penyiapan segera projek LCS kerana penyiapan kapal bergantung kepada tindakan pembuat kapal untuk menyegerakan kerja dan mengelak kelewatan.
  • Q: Apakah status terkini penyerahan LCS 1 kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF)? 
    A: Lumut Naval Shipyard (LUNAS) telah menetapkan April 2027 sebagai tarikh baharu penyerahan LCS 1 bagi Fasa 1 kepada MINDEF selepas tidak dapat memberi jaminan penyerahan pada Disember tahun ini.
  • Q: Siapakah pihak yang bertanggungjawab menyiasat isu berkaitan projek LCS? 
    A: Menteri Pertahanan menyatakan siasatan berkaitan projek LCS wajar diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa berkaitan.
  • Q: Apakah tindakan yang telah diambil terhadap individu berkaitan projek LCS? 
    A: Tindakan mahkamah pernah dikenakan terhadap bekas Panglima Tentera Laut yang juga bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) berkaitan projek LCS.
  • Q: Apakah perkembangan terkini mengenai kelengkapan peluru berpandu untuk LCS 1? 
    A: Kerajaan sedang berunding dengan beberapa negara untuk mendapatkan pembekal peluru berpandu permukaan-ke-permukaan bagi LCS 1, menggantikan Naval Strike Missile (NSM) dari Norway, dan perolehan ini tidak bergantung kepada peruntukan Belanjawan 2027.

Must Watch Video

Advertisement