Skip to main content

Malaysia

Bakat faktor utama tarik pelaburan di bawah cukai minimum global - Tengku Zafrul 

Tengku Zafrul (foto) berkata Malaysia dan pesaing serantaunya telah menerima pakai cukai minimum global yang mewajibkan syarikat multinasional untuk membayar kadar cukai efektif minimum sebanyak 15 peratus, tanpa mengira destinasi pelaburan mereka. -Gambar fail/Bernama
Tengku Zafrul (foto) berkata Malaysia dan pesaing serantaunya telah menerima pakai cukai minimum global yang mewajibkan syarikat multinasional untuk membayar kadar cukai efektif minimum sebanyak 15 peratus, tanpa mengira destinasi pelaburan mereka. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai minimum global telah mengubah faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan pelaburan syarikat multinasional (MNC) dengan ketersediaan bakat mahir kini menjadi elemen yang semakin penting, demikian menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pengerusi MIDA Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia dan pesaing serantaunya telah menerima pakai cukai minimum global yang mewajibkan syarikat multinasional untuk membayar kadar cukai efektif minimum sebanyak 15 peratus, tanpa mengira destinasi pelaburan mereka.

“Pelepasan cukai tidak lagi menjadi tarikan utama bagi pelabur seperti sebelum ini. Kini bakat yang menjadi tarikan utama. Andalah penyebabnya mereka  (pelabur) datang,” katanya semasa berucap pada program Tax Budget and Me (TBAM) 2027, di sini, hari ini.

Advertisement

Beliau berkata pelabur yang berhasrat untuk membuat pelaburan, termasuk kilang semikonduktor dan pusat reka bentuk cip, sebenarnya sedang melabur dalam kumpulan bakat Malaysia.

“Dan andalah yang akan memastikan pelaburan itu direalisasikan: rekod kewangan  telus, insentif diperoleh, dan cukai dibayar sepenuhnya,” kata Tengku Zafrul.

Advertisement

Selain itu, beliau berkata Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap percukaian progresif, merangkumi lebih banyak pelepasan cukai bagi golongan pertengahan, cukai lebih rendah untuk perniagaan kecil, kutipan cukai yang tinggi sedikit daripada mereka yang berpendapatan melebihi RM1 juta, serta bantuan tambahan bagi mereka yang sedang melunaskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kerajaan terus komited melaksanakan percukaian progresif.

“Jadi bagi pihak kerajaan pula, mereka perlu terus meraih kepercayaan anda. Oleh itu, pastikan kami bertanggungjawab atas segala tindakan. Tanyalah ke mana perginya wang anda. Begitulah seharusnya kontrak sosial berfungsi,” katanya.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement