KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam negeri Gred Utama B dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dengan implikasi kewangan keseluruhan RM7.13 juta.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata bantuan itu dibayar secara dua peringkat, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang Hari Kebangsaan.
“Pemberian ini sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen, pengorbanan dan khidmat bakti penjawat awam dalam menjayakan agenda pembangunan negeri serta memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata bantuan itu turut dipanjangkan kepada lantikan politik dengan kadar bantuan ditentukan oleh kerajaan negeri.
-- BERNAMA