KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA serta Majlis Datuk-Datuk Malaysia (MDDM) memberi amaran berhubung taktik penipuan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gelaran diraja palsu dan gambar bersama dengan pemimpin negara bagi memperdayakan orang ramai dalam skim pelaburan palsu.
Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata kes terkini melibatkan seorang wanita dikenali sebagai Yang Xiao Ying atau “Datuk Xenia” yang menggunakan imej janaan AI untuk menyamar sebagai pemegang gelaran itu di media sosial.
Chong berkata penipuan itu memanipulasi imej bagi menunjukkan wanita tersebut memakai pakaian rasmi Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Melaka serta bersalaman dengan Perdana Menteri di Parlimen.
“Untuk memberi gambaran kononnya mendapat sokongan peringkat tinggi kerajaan, wanita itu turut menyebarkan gambar palsu bersama dengan Ketua Polis Negara (KPN) dan bekas KPN.
“Tujuan imej AI dihasilkan adalah untuk menipu dan meyakinkan orang ramai, dan wanita itu meminta pelaburan bernilai tinggi dalam forex dan emas dengan berpura-pura sebagai duta kebajikan sebuah persatuan di Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Undang-Undang MDDM Datuk Joy Appukuttan dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Melaka Edison Chan.
Chong berkata modus operandi penipuan itu ialah mereka pelaburan pulangan keuntungan lumayan hingga mencapai RM3.2 bilion sebelum mendesak mangsa mendermakan semula wang mereka kepada badan kebajikan palsu.
Sementara itu, Joy berkata berkata penggunaan gelaran yang tidak diiktiraf atau direka bagi menunjukkan kewibawaan palsu adalah kesalahan jenayah yang serius.
Beliau berkata MDDM menerima sekurang-kurangnya tujuh laporan dari tahun lepas berhubung individu menggunakan gelaran Datuk palsu dengan kebanyakannya mendakwa gelaran itu dikurniakan oleh kerabat diraja luar negara atau negara tidak diiktiraf.
“Di bawah Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787), penggunaan anugerah yang tidak diiktiraf, meminta anugerah luar negara tidak diiktiraf dan menggunakan gelaran yang tidak dikurniakan secara rasmi oleh raja atau pemerintah negeri adalah satu kesalahan,” katanya.
Joy berkata mereka yang disabitkan kesalahan mengikut akta itu, boleh dipenjara hingga tiga tahun atau didenda tidak kurang RM10,000 dan maksimum RM250,000.
Beliau berkata MDDM mengeluarkan peringatan kepada individu yang menggunakan gelaran tidak sah pada kad perniagaan dan media sosial agar memadamkannya dengan serta-merta.
Orang ramai dinasihati supaya menyemak kesahihan gelaran Datuk menerusi portal rasmi kerajaan melalui www.istiadat.gov.my atau direktori MDDM www.mddm.org.my.
-- BERNAMA