Skip to main content

Malaysia

"Bapa MRSM" Abdul Wahab Alwi meninggal dunia

Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Abdul Wahab Alwi, tokoh penting dalam sejarah penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).  Sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham dalam membuka jalan pendidikan serta membina masa depan anak bangsa akan terus terpahat dan dikenang.  Al-Fatihah (dibaca). Kredit: Facebook Shamsul Azri bin Abu Bakar
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyifatkan Abdul Wahab yang merupakan bekas pengarah Bahagian Latihan MARA sebagai individu terpenting dalam mencetus idea dan penubuhan MRSM. - Foto FB Shamsul Azri bin Abu Bakar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengasas Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Abdul Wahab Alwi, 84, meninggal dunia pada 3 pagi tadi.

Berita pemergian Abdul Wahab, yang juga dikenali sebagai “Bapa MRSM” dikongsikan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA) menerusi hantaran Instagram hari ini.

ANSARA menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan seorang tokoh serta insan yang telah membantu mencipta peluang dan membina laluan pendidikan untuk generasi demi generasi anak Malaysia.

“Daripada gagasan yang beliau bantu lahirkan, MRSM telah melahirkan ribuan alumni yang kini berbakti dalam pelbagai bidang - kerajaan, keselamatan, perubatan, kejuruteraan, akademik, perniagaan, profesional serta masyarakat.

“Mungkin tidak semua daripada kita pernah bertemu atau mengenali Allahyarham, namun kita semua adalah antara mereka yang pernah melalui pintu peluang yang beliau bantu buka,” menurut hantaran itu.

ANSARA turut memaklumkan jenazah Allahyarham disolatkan pada 11 pagi tadi di Masjid Raja Bendahara Tengku Bandar Shah, Denai Alam, Shah Alam, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina.

“Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan menerima segala jasa serta amal jariah beliau kepada agama, bangsa dan negara,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, sambil menyifatkan Abdul Wahab yang merupakan bekas pengarah Bahagian Latihan MARA sebagai individu terpenting dalam mencetus idea dan penubuhan MRSM.

“Sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham dalam membuka jalan pendidikan serta membina masa depan anak bangsa akan terus terpahat dan dikenang. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran Facebook.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement