MELAKA: Bekas siak dan seorang pekerja pembersihan yang pernah tular berhubung dakwaan rogol di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid di Bukit Piatu di sini Jun lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka pada Khamis atas pertuduhan percubaan persetubuhan haram.
Lelaki yang berusia 48 tahun dan 'cleaner' berusia 51 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mawardi Che Man.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan percubaan persetubuhan haram dengan pasangan yang bukan sah di sisi hukum syarak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 hingga 30 April 2026, antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, di bilik pengurusan jenazah masjid berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 36 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, manakala pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dibantu Radzwan Abdullah.
Berdasarkan fakta kes, pada 4 Jun 2026 sekitar jam 4.30 petang, pasangan itu dibawa anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berkaitan satu laporan polis dibuat tertuduh wanita mendakwa menjadi mangsa rogol.
Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan, polis mendapati tiada unsur rogol seperti didakwa sebaliknya perbuatan itu dilakukan secara sukarela dan ia dipercayai berlaku berulang kali.
Sementara itu, Muhammad Ammar Yaser dalam proses rayuan memohon mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah kedua-dua anak guamnya yang dibuat secara sukarela serta difahami kesan dan hukuman yang bakal dikenakan.
Menurutnya, dalam konteks kesalahan syariah, pengakuan bersalah juga boleh dilihat sebagai tanda penyesalan, taubat dan muhasabah diri, walaupun ia bukan jaminan hukuman akan dikurangkan kerana ia terserah kepada pertimbangan hakim.
Peguam memaklumkan anak guamnya merupakan seorang duda mempunyai empat anak dan bekerja sebagai siak dengan pendapatan daripada elaun sebagai ahli jawatankuasa masjid di bawah MAIM, selain tidak mempunyai pendapatan sampingan.
Dia juga dikatakan telah meletakkan jawatan selepas perbuatan itu diketahui umum.
Sementara itu, 'cleaner' yang sudah berkahwin hampir 30 tahun dan mempunyai lapan anak, bekerja di sebuah restoran di Semabok dengan pendapatan kira-kira RM50 sehari, selain melakukan kerja pembersihan secara sambilan sebagai sukarelawan masjid dengan bayaran RM520 sebulan.
Dalam hujah pemberat, Wan Mahyuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira pengakuan bersalah, fakta kes serta kes berkenaan yang tular sejak Jun lalu.
Menurutnya, kesalahan dilakukan adalah serius kerana bukan sahaja melanggar perintah Allah, malah bertentangan dengan nilai moral seorang Islam, lebih-lebih lagi apabila melibatkan seorang duda dan wanita yang masih bersuami.
Beliau berkata, kedudukan tertuduh sebagai siak dan wanita itu sebagai pekerja pembersihan yang mendapat bayaran melalui MAIM turut wajar diambil kira kerana kedua-duanya sepatutnya memelihara amanah dan kehormatan institusi masjid.
Katanya, berdasarkan keterangan 'cleaner' itu, persetubuhan haram bersama siak turut berlaku beberapa kali antara Januari hingga Jun lalu, namun pendakwaan hanya mengemukakan satu pertuduhan berdasarkan laporan yang dibuat.
Pendakwaan turut menegaskan perbuatan dilakukan di bilik pengurusan jenazah, iaitu tempat yang mempunyai fungsi berkaitan fardu kifayah dan peringatan mengenai kematian, sekali gus disifatkan mencemarkan kehormatan institusi masjid.
Wan Mahyuddin memohon hukuman yang dijatuhkan mempunyai unsur pencegahan serta memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dan masyarakat Islam supaya tidak melanggar hukum syarak serta undang-undang.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda maksimum RM5,000 terhadap setiap tertuduh atau penjara 18 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Terdahulu, hakim mengambil hampir 30 minit untuk memberi teguran kepada kedua-dua tertuduh.
Dalam tegurannya, Mawardi berkata, kesalahan itu adalah serius kerana dilakukan di bilik pengurusan jenazah dalam kawasan masjid.
Mawardi berkata, walaupun hukuman bagi kesalahan zina dalam hukum Islam boleh direjam sampai mati namun undang-undang syariah di Malaysia bersifat takzir iaitu menjurus kepada pencegahan dan mendidik.
Beliau turut mengingatkan kedua-dua tertuduh bahawa pada usia mereka, sepatutnya masjid menjadi tempat untuk mendekatkan diri kepada agama bukan mencemarkan imej diri serta institusi masjid. - Sinar Harian