KUALA LUMPUR: Seramai 800 pelajar tahun pertama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya (UM) bakal menerima akses kepada platform pengekodan kecerdasan buatan (AI) termaju menerusi pelancaran ILMUcode oleh YTL AI Labs.
ILMUcode, platform pengekodan AI generasi baharu Malaysia itu dilancarkan Universiti Malaya, di sini, pada Khamis dan dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Inisiatif tersebut dibangunkan bagi mempersiapkan rakyat Malaysia menghadapi era baharu pembangunan perisian menerusi akses kepada keupayaan pengekodan termaju melalui infrastruktur AI berdaulat pada kos lebih rendah.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, UM menjadi universiti pertama di Malaysia yang memperkenalkan ILMUcode kepada pelajarnya.
Bermula semester baharu, 800 pelajar tahun pertama berkenaan akan menerima kredit RM100 sebulan selama tiga bulan, dengan nilai sehingga RM300 setiap seorang, untuk meneroka, membina dan membangunkan projek menggunakan platform tersebut.
ILMUcode menggabungkan pembantu pengekodan AI berciri ejen dengan ILMU-GLM-5.3, model terbaharu dalam rangkaian model ILMU yang dibangunkan menerusi kerjasama YTL AI Labs dengan Z.ai.
Melaluinya, pembangun, pelajar dan individu yang ingin menceburi bidang pembangunan perisian boleh memahami pangkalan kod kompleks, menulis dan mengubah suai kod, menyelesaikan masalah serta menterjemahkan idea kepada perisian berfungsi dengan lebih pantas.
Menurut YTL AI Labs, prestasi ILMUcode turut disenaraikan antara model pengekodan terkemuka dunia berdasarkan penanda aras seperti Terminal-Bench 2.1 dan DeepSWE.
Naib Canselor UM, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata akses kepada teknologi itu dapat membantu melengkapkan generasi baharu pembangun teknologi Malaysia, selain memperkukuh saluran bakat AI tempatan.
“Kami berbangga kerana Universiti Malaya merupakan universiti pertama di Malaysia yang memberikan pelajar sains komputer kami akses kepada AI pengekodan termaju generasi baharu menerusi ILMUcode.
“Menerusi ILMUcode, kami dapat melengkapkan generasi pembangun teknologi Malaysia akan datang serta memperkukuh saluran bakat AI tempatan,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata ILMU menggabungkan keupayaan AI Malaysia dengan teknologi terbaik dari seluruh dunia, termasuk menerusi kerjasama dengan NVIDIA dan Z.ai, sambil mengekalkan kedaulatan infrastrukturnya.
“Kami membangunkan model terunggul kami sendiri dan bekerjasama dengan syarikat AI terkemuka dunia, daripada NVIDIA hinggalah Z.ai, untuk membawa keupayaan mereka ke dalam rangkaian model ILMU, sambil mengekalkan kedaulatan infrastruktur kami.
“Dengan pelancaran ILMUcode, kami mempersiapkan rakyat Malaysia dengan AI termaju bukan sahaja untuk kegunaan biasa, tetapi juga untuk membina penyelesaian berasaskan AI dan menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara AI,” jelasnya.
Rangkaian model ILMU turut merangkumi model multimodal, pengecaman pertuturan, teks-ke-pertuturan dan model pembenaman, manakala model multimodal terunggul YTL AI Labs menduduki tangga teratas dalam penanda aras MalayMMLU bagi Bahasa Melayu, menurut syarikat itu.
Menerusi kerjasama dengan NVIDIA, model ILMU-Nemo yang dibina berasaskan model terbuka NVIDIA Nemotron digunakan untuk memacu ILMUclaw, yang membolehkan pengguna membina ejen AI autonomi.
Kerjasama dengan Z.ai pula memperluas rangkaian ILMU ke bidang pengekodan menerusi ILMUcode.
Pengasas Bersama dan Ketua Saintis Z.ai, Profesor Jie Tang berkata pihaknya menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara AI, selain komited memperluas akses kepada AI termaju kepada pembangun di seluruh dunia.
“Menerusi kerjasama dengan YTL AI Labs dalam menyediakan ILMUcode, kami merealisasikan misi tersebut bersama generasi baharu Malaysia,” ujarnya.
ILMUcode kini menjadi sebahagian daripada portfolio produk AI YTL AI Labs yang turut merangkumi ILMUclaw dan ILMUchat, platform AI perbualan yang tersedia di Apple App Store dan Google Play.
Platform ILMUcode juga kini boleh digunakan oleh pembangun, pelajar serta individu yang ingin menceburi bidang pembangunan perisian.