KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menyediakan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur, bernilai RM1 bilion, sebagai endowmen baharu bagi memperkasa ekonomi dan pemilikan Bumiputera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen itu selaras dengan usaha berterusan kerajaan memacu agenda Bumiputera menerusi pendekatan terangkum di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
“Kerajaan tidak pernah berganjak daripada amanah memperkasa ekonomi Bumiputera. Agenda Bumiputera dipacu dengan pendekatan terangkum melalui PuTERA35,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata pemberian endowmen kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra kali pertama dilaksanakan pada 1978 berjumlah RM200 juta, namun tiada endowmen susulan diberikan sejak 1981.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan mewartakan 50 ekar tanah di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu, yang menurutnya belum pernah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.
“PETRONAS kini telah memulakan pembangunan 10 ekar pertama bagi menyediakan perumahan mampu milik,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata kerajaan turut bersetuju membangunkan tanah milik kerajaan seluas hampir 11 ekar di Belfield, Kuala Lumpur, bagi membina sekurang-kurangnya 2,500 unit Rumah MADANI.
Sebanyak 70 peratus daripada unit berkenaan dikhususkan untuk Bumiputera.