KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa golongan belia agar berani mengambil tanggungjawab sebagai pemimpin dan berkhidmat kepada masyarakat tanpa perlu menunggu gelaran atau jawatan rasmi.
Beliau berkata tanggungjawab bukan ditentukan oleh usia seseorang sebaliknya keberanian untuk bertindak dan berkhidmat.
“Masa depan bukan milik mereka yang menunggu gelaran tetapi milik mereka yang berkhidmat sebelum diminta,” katanya dalam Ucapan Khas pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Prof Dr Yatimah Alias.
Fadillah berkata golongan belia perlu kepada tiga asas utama iaitu nilai, visi dan tanggungjawab dalam menghadapi era kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan teknologi yang pesat.
“Teknologi dapat meningkatkan keupayaan kita tetapi hanya dengan nilai mampu membimbing penggunaannya,” katanya sambil menambah prinsip itu selari dengan intipati Malaysia MADANI, yang menekankan kemajuan dengan menghormati maruah insan dan memperkukuh kepercayaan rakyat.
Beliau berkata visi pula membantu golongan muda kekal teguh ketika di sekeliling mereka segala-galanya berubah kerana visi bukan sekadar membayangkan masa depan, tetapi juga usaha membinanya.
“Seterusnya, nilai dan visi tersebut hendaklah diterjemahkan kepada tanggungjawab. Kita mungkin dapat menyelesaikan masalah yang telah lama diabaikan. Setiap usaha ini mungkin kelihatan kecil, tetapi bagi mereka yang menerimanya usaha itu boleh membawa perubahan besar,” katanya.
Fadillah berkata pemimpin muda juga disaran memiliki daya tahan yang jitu, membina pasukan yang saling mempercayai serta sentiasa terbuka menerima maklum balas dan bekerjasama dengan pihak lain.
“Mendengar bukan kelemahan, meminta bantuan juga bukan tanda lemah. Itulah kekuatan dan kepimpinan berteraskan nilai,” katanya.
Sidang kemuncak bertemakan “Mendefinisikan Semula Pemimpin Masa Depan Melalui Kepimpinan Berteraskan Nilai” yang berlangsung dari 11 hingga 13 Okt itu, bertujuan membina jaringan kepimpinan pelajar antarabangsa menerusi wacana intelektual dan dialog strategik bersama pemimpin utama negara.
Program itu menghimpunkan lebih 1,000 pemimpin pelajar daripada institusi pendidikan tinggi dari 60 negara.
-- BERNAMA