Skip to main content

Malaysia

BUDI Diesel: Kerajaan lulus hampir 21,700 permohonan pindah kelayakan

Amir Hamzah berkata kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI MADANI Diesel berdasarkan data penggunaan, maklum balas pengguna, input kerajaan negeri serta keperluan sektor terlibat. - Gambar hiasan/Bernama
Amir Hamzah berkata kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI MADANI Diesel berdasarkan data penggunaan, maklum balas pengguna, input kerajaan negeri serta keperluan sektor terlibat. - Gambar hiasan/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan telah meluluskan hampir 21,700 permohonan pemindahan kelayakan BUDI MADANI Diesel, termasuk 12,160 permohonan dari Sabah, Sarawak dan Labuan.
  • Lebih 291,000 pengguna jip dan pikap menikmati tambahan 100 liter subsidi diesel sebulan, menjadikan jumlah kelayakan kepada 400 liter sebulan.
  • Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kini diperluas kepada jip dan pikap milik persendirian syarikat, dengan lebih 27,200 kenderaan mendapat kelayakan setakat 26 Oktober.

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan hampir 21,700 permohonan pemindahan kelayakan BUDI MADANI Diesel setakat semalam, termasuk 12,160 permohonan dari Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata mekanisme itu membolehkan pemilik berdaftar kenderaan diesel yang layak memindahkan kelayakan kepada warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sah, layak menerima BUDI95 dan merupakan pengguna sebenar kenderaan berkenaan.

Beliau berkata penambahbaikan yang dilaksanakan sejak 16 Sept 2026 itu bertujuan menangani situasi penggunaan kenderaan oleh ahli keluarga atau pekerja yang bukan pemilik berdaftar, termasuk amalan sambung bayar, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Bagi pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel, kelayakan boleh dipindahkan kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada jumlah kenderaan dimiliki dan semakan kelayakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin tahu jumlah pemilik pikap dan jip yang telah menerima tambahan 100 liter Budi Diesel serta langkah bagi membantu pemilik yang menggunakan kenderaan untuk perniagaan kecil, pertanian dan perjalanan ke kawasan pedalaman.

Amir Hamzah berkata setakat semalam juga, lebih 291,000 pengguna kenderaan diesel jenis jip dan pikap di seluruh negara menikmati kelayakan tambahan 100 liter sebulan di bawah BUDI MADANI Diesel.

Kelayakan tambahan itu menjadikan jumlah subsidi diesel yang boleh dinikmati pemilik yang layak meningkat kepada 400 liter sebulan, berbanding kelayakan asas 300 liter.

“Inisiatif ini mengambil kira penggunaan jip dan pikap sebagai kenderaan utama untuk membawa hasil pertanian, barangan perniagaan kecil, mengangkut pekerja serta perjalanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan pengguna yang betul-betul bergantung kepada kenderaan diesel untuk kegiatan ekonomi harian terus mendapat perlindungan subsidi yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut memperluas pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada jip dan pikap milik persendirian syarikat, termasuk perusahaan kecil, bagi membolehkan kenderaan berkenaan menikmati diesel bersubsidi.

Setakat 26 Okt, lebih 27,200 kenderaan jip dan pikap telah mendapat kelayakan di bawah SKDS.

Amir Hamzah berkata kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI MADANI Diesel berdasarkan data penggunaan, maklum balas pengguna, input kerajaan negeri serta keperluan sektor terlibat bagi memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan mengikut keperluan semasa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement