Skip to main content

Malaysia

BUDI MADANI: Pemilik stesen minyak di Nibong Tebal berdepan penggantungan, pembatalan lesen

Armizan (kanan) memantau barangan terkawal yang tersenarai dalam harga kawalan ketika hadir pada Majlis Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2026 di Kuala Kumpur, pada Khamis. -Gambar BERNAMA
Armizan (kanan) memantau barangan terkawal yang tersenarai dalam harga kawalan ketika hadir pada Majlis Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2026 di Kuala Kumpur, pada Khamis. -Gambar BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemilik sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang disyaki menyalahgunakan subsidi petrol RON95 dan diesel di bawah Program BUDI MADANI berdepan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen sekiranya didapati bersalah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata laporan polis telah dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama kementeriannya.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan subsidi memandangkan perbuatan itu memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.

“Di pihak KPDN, sekiranya didapati bersalah nanti, antara tindakan yang boleh kita laksanakan adalah menggantung atau membatalkan lesen barang kawalan berjadual (CSA) pemilik stesen minyak berkenaan,” katanya pada sidang media sempena pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali, di sini, pada Khamis.

Armizan berkata pemegang lesen CSA bertanggungjawab mematuhi peraturan berkaitan pengendalian barang kawalan, termasuk memastikan rekod transaksi tidak dimanipulasi.

Katanya, kerajaan tidak mahu kemudahan subsidi yang disediakan bagi membantu rakyat diseleweng pihak tertentu, justeru tindakan tegas akan diambil sekiranya kesalahan itu dibuktikan melalui siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Kewangan menyekat sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah Program BUDI MADANI selepas mengesan transaksi mencurigakan yang disyaki membabitkan penyalahgunaan subsidi.

Kementerian Kewangan (MoF) dilaporkan berkata semakan rekod transaksi di stesen minyak berkenaan mendapati lebih 1,000 transaksi menggunakan kaedah pintasan manual, membabitkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000.

Tindakan itu diambil susulan aduan beberapa penerima Program BUDI MADANI yang mendapati maklumat MyKad mereka digunakan tanpa pengetahuan untuk membeli petrol bersubsidi.

Must Watch Video

Advertisement