CYBERJAYA: Pelaksanaan sistem e-Invois bukan bertujuan mengenakan cukai baharu atau menambah beban percukaian kepada rakyat, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, inisiatif pendigitalan percukaian itu merupakan instrumen penting untuk menegakkan keadilan, mengesan ketidakpatuhan, serta memastikan semua pihak menunaikan tanggungjawab masing-masing secara saksama.
Jelas beliau, situasi tidak adil berlaku sekiranya golongan pekerja yang jujur terus dipotong dan membayar cukai daripada pendapatan mereka, manakala pihak yang memiliki sumber kewangan lebih besar pula menyembunyikan pendapatan menerusi pelbagai lapisan perniagaan dan helah perakaunan.
"Keadilan menuntut supaya undang-undang percukaian dilaksanakan secara saksama. Keadilan percukaian ini adalah tonggak ketamadunan dan aspirasi Malaysia Madani," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sempena sambutan Hari Inovasi dan Integriti Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) 2026, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, e-Invois kini telah membuahkan hasil positif dalam memupuk budaya pematuhan cukai.
Sehingga 2 November 2026, beliau berkata, sebanyak 2.14 bilion e-Invois telah dikemukakan oleh kira-kira 269,900 pembayar cukai di seluruh negara.
"Melalui usaha pematuhan yang diperkukuh dengan penggunaan data e-Invois, lebih 97,000 pembayar cukai tampil mengemukakan borang nyata bagi tahun-tahun terdahulu secara sukarela dengan cukai kena bayar berjumlah RM1.68 bilion," jelasnya.
Langkah pengukuhan pentadbiran dan penguatkuasaan itu turut menyumbang kepada peningkatan kutipan cukai langsung kasar bagi 10 bulan pertama tahun 2026, iaitu melonjak 5.8 peratus kepada RM174.48 bilion berbanding RM164.92 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau menggesa warga HASiL agar terus tegas terhadap sebarang cubaan mengelak cukai secara sengaja, namun pada masa sama tetap mengamalkan budi bicara berlandaskan undang-undang terhadap pembayar cukai yang memerlukan bimbingan dan bantuan.