Skip to main content
Advertisement

Malaysia

CHARM alu-alukan penajaan swasta perkukuh sukan sorak negara

Chin Hau berkata, CHARM merancang meneruskan program pembangunan sukan sorak di peringkat akar umbi pada tahun depan selepas pelaksanaannya ditangguhkan tahun ini susulan komitmen penganjuran kejohanan antarabangsa - Foto BERNAMA
Chin Hau berkata, CHARM merancang meneruskan program pembangunan sukan sorak di peringkat akar umbi pada tahun depan selepas pelaksanaannya ditangguhkan tahun ini susulan komitmen penganjuran kejohanan antarabangsa - Foto BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Sorak dan Daftar Malaysia (CHARM) mengalu-alukan sokongan dana dan penajaan daripada sektor swasta bagi memperkukuh pembangunan sukan sorak negara, khususnya dari aspek penyediaan kemudahan latihan atlet.

Presidennya, Lim Chin Hau berkata, persatuan itu ketika ini masih berdepan kekurangan pusat latihan berpusat yang khusus, menyebabkan atlet terpaksa berkongsi kemudahan milik beberapa syarikat sukan sorak secara bergilir-gilir.

Menurutnya, sokongan syarikat terbabit banyak membantu persatuan dan atlet meneruskan latihan meskipun berdepan kekangan kemudahan.

“Kami tidak mempunyai pusat latihan berpusat rasmi yang mencukupi. Bagaimanapun, kami amat menghargai sokongan syarikat swasta yang menyediakan peralatan dan kemudahan latihan.

“Mereka banyak membantu persatuan dan atlet. Kami berkongsi serta menggunakan kemudahan latihan secara bergilir-gilir,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak syarikat swasta tampil memberikan penajaan dan sokongan bagi membantu pembangunan sukan sorak di Malaysia.

Dalam pada itu, Chin Hau berkata, CHARM merancang meneruskan program pembangunan sukan sorak di peringkat akar umbi pada tahun depan selepas pelaksanaannya ditangguhkan tahun ini susulan komitmen penganjuran kejohanan antarabangsa.

Katanya, program yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada tahun lalu berjaya melibatkan penyertaan dari 12 negeri.

Beliau berkata, tumpuan turut diberikan kepada usaha memperluas kumpulan jurulatih bagi memastikan pembangunan atlet dapat dilaksanakan secara lebih sistematik.

Untuk rekod, Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan ICU Asian Cheerleading Championships (ACC) dan ICU Asia Pacific Cheerleading Cup (APCC) 2026 yang menghimpunkan hampir 5,000 peserta dari 17 negara.

Must Watch Video

Advertisement