KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 jenis barangan keperluan diwartakan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali yang berkuat kuasa dari 4 hingga 10 November ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah itu meningkat berbanding sembilan jenis barangan pada tahun lalu susulan penambahan dua barangan baharu iaitu santan dan ubi kentang dari China.
Penambahan itu, katanya, bertujuan memastikan liputan barangan kawalan lebih menyeluruh sempena sambutan perayaan berkenaan.
Menurut beliau, pelaksanaan skim selama tujuh hari itu meliputi empat hari sebelum perayaan, satu hari pada hari perayaan dan dua hari selepasnya.
“Berdasarkan perbandingan harga maksimum bagi SHMMP Deepavali tahun lalu dan tahun ini, majoriti barangan kawalan menunjukkan trend harga yang stabil.
“Bagi Semenanjung Malaysia, lima barangan mencatatkan penurunan harga maksimum, iaitu kelapa biji, kelapa parut, bawang merah besar, bawang merah kecil India dan kacang dal Australia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pengumuman pelaksanaan SHMMP Deepavali, di sini, pada Khamis.
Bagaimanapun, Armizan berkata daging kambing biri-biri bertulang import merupakan satu-satunya barangan yang mencatatkan peningkatan harga maksimum di peringkat borong dan runcit di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurutnya, penetapan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan skim mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca serta kadar upah selain pandangan agensi kerajaan dan pemain industri.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan bekalan barangan terkawal mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan.
“Peniaga juga diwajibkan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal, manakala tindakan boleh diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” jelasnya.
Berikut ialah 11 jenis barangan keperluan yang dikawal harga di bawah SHMMP Deepavali 2026:
1. Bawang merah besar
2. Bawang merah kecil India
3. Bawang merah kecil India (Ros)
4. Cili merah
5. Daging kambing biri-biri bertulang import
6. Kacang dal (Australia)
7. Kelapa biji
8. Kelapa parut
9. Santan (barangan baharu)
10. Tomato
11. Ubi kentang (China) (barangan baharu)