MELAKA: Dua wanita cedera dipercayai tergelincir daripada pelampung ketika bermain gelongsor air tornado chaser and pendulum di sebuah taman tema dan resort di Ayer Keroh di sini pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas berkata mangsa masing-masing berusia 46 dan 31 tahun dilaporkan mengalami darah beku pada bahagian kepala dan gegaran otak dalam kejadian kira-kira 2.30 petang.
“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kedua-dua wanita berkenaan sedang bercuti di taman tema dan resort itu bersama beberapa ahli keluarga yang lain sebelum mangsa memilih untuk bermain gelongsor air berkenaan.
“Mangsa mendakwa menggunakan pelampung berkembar ketika hendak bermain permainan itu dengan seorang duduk di bahagian hadapan dan seorang duduk di bahagian belakang,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Halim bagaimanapun berkata semasa menuruni gelongsor itu, pelampung berkenaan secara tiba-tiba melanggar sesuatu menyebabkan kepala seorang daripada mereka terhantuk pada dinding gelongsor dan kedua-dua mangsa dilaporkan pengsan.
Beliau berkata mangsa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan hasil imbasan tomografi berkomputer (CT scan) yang dilakukan ke atas mangsa berusia 46 tahun itu mendapati terdapat darah beku pada bahagian kanan kepalanya selain luka pada dagu dan lutut kanan serta sakit pada bahagian dada.
Menurut Halim, mangsa berusia 31 tahun itu pula dilaporkan tidak mengingati kejadian yang menimpanya dan didapati mengalami gegaran otak selain sakit pada badan.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (Tourism Melaka) Nasrul Ahmad dalam kenyataan mengingatkan semua pengusaha taman tema dan pusat pelancongan di negeri itu agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan pengunjung.
Beliau berkata pemeriksaan dan penyelenggaraan fasiliti, permainan taman tema serta peralatan di premis mereka perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan selamat dan berfungsi dengan baik.
“Kami tidak mahu kemalangan seumpama ini berulang lebih-lebih lagi disebabkan kecuaian atau peralatan yang tidak diselenggara dengan baik.
“Perkara ini penting kerana Melaka mempunyai banyak produk pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri, khususnya pada cuti hujung minggu atau cuti panjang. Kami tidak mahu percutian mereka di Melaka memberi pengalaman buruk atau tidak baik,” katanya.
-- BERNAMA