KUALA LUMPUR: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menawarkan diskaun 30 peratus bagi semua tiket kelas ekonomi selama sebulan bermula dari hari pertama operasinya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata operasi ECRL disasarkan bermula pada pertengahan Disember ini, dengan 12 Disember sebagai tarikh sasaran permulaan operasi.
Menurutnya, penjualan tiket dijangka dibuka tidak lama lagi menjelang pelancaran perkhidmatan itu.
“Sempena pembukaan ECRL, diskaun 30 peratus akan diberikan kepada orang ramai bagi semua tiket kelas ekonomi selama sebulan bermula dari tarikh operasi.
“Diskaun promosi itu terpakai kepada orang awam yang tidak layak menikmati tambang konsesi sedia ada, manakala penumpang yang layak termasuk orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas dan pelajar akan terus menikmati diskaun tetap sebanyak 50 peratus," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Transport Expo Asia 2026, pada Selasa.
Anthony berkata penetapan tambang ECRL mengambil kira kemampuan pengguna serta keperluan memastikan operasi perkhidmatan itu kekal mampan.
Tambahnya, kadar tambang yang ditawarkan juga lebih rendah berbanding penerbangan selain memberikan keselesaan kepada penumpang sepanjang perjalanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak pada Isnin memaklumkan tiket perkhidmatan penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mula dijual secara dalam talian pada pertengahan November ini.
Harga tambang penumpang ECRL bagi perjalanan transit kelas ekonomi dari Gombak ke Kota Bharu bermula dari RM125 di bawah mekanisme harga dinamik, dengan kadar pertengahan bagi laluan sama ditetapkan sekitar RM156 sehala.