Skip to main content

Malaysia

Pelaburan perlu dinilai bersama data gaji, pekerjaan - Menteri Ekonomi

Pelaburan bernilai tinggi tidak semestinya menjamin peningkatan pendapatan sekiranya pekerja dan pembekal tempatan gagal menyertai rantaian nilai. - Gambar hiasan
Pelaburan bernilai tinggi tidak semestinya menjamin peningkatan pendapatan sekiranya pekerja dan pembekal tempatan gagal menyertai rantaian nilai. - Gambar hiasan

Advertisement

PUTRAJAYA: Statistik pelaburan negara perlu dinilai bersama data pekerjaan, gaji, kemahiran dan produktiviti bagi melihat sejauh mana pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelaburan bernilai tinggi tidak semestinya menjamin peningkatan pendapatan sekiranya pekerja dan pembekal tempatan gagal menyertai rantaian nilai.

"Pelaburan bernilai tinggi tidak semestinya menghasilkan pendapatan tinggi jika tenaga kerja dan pembekal tempatan tidak dapat menyertai rantaian nilai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Ekonomi, Mohd Shahar Abdullah sempena Sambutan Hari Statistik Negara 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan perlu beralih daripada hanya menilai jumlah perbelanjaan kepada keberhasilan sebenar sesuatu dasar, termasuk mengenal pasti golongan yang menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi.

Jelasnya, pendekatan itu juga perlu mengambil kira perbezaan geografi, lokaliti, demografi dan struktur ekonomi setempat, berbanding pelaksanaan dasar secara seragam.

Akmal Nasrullah berkata, kemajuan negara tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata.

Sebaliknya, bagi sesebuah keluarga, kemajuan bermaksud pendapatan mencukupi, pendidikan baik, pekerjaan bermutu serta simpanan ketika kecemasan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kejayaan dasar pembangunan perlu dinilai berdasarkan perubahan sebenar yang dialami rakyat, bukan sekadar jumlah peruntukan atau bilangan penerima bantuan.


 

Must Watch Video

Advertisement