Ringkasan AI
- Tujuh stesen minyak di Selangor disiasat selepas 10 aduan rasmi pengguna mengenai petrol RON95 dicemari air sehingga merosakkan enjin kenderaan.
- 27 tin sampel petrol RON95 telah disita untuk analisis makmal, sementara notis dikeluarkan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 bagi membantu siasatan.
- KPDN Selangor turut menyiasat kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan perihal dagangan palsu serta mengingatkan pengusaha stesen minyak menjaga penyelenggaraan tangki simpanan.
KUALA LUMPUR: Tujuh stesen minyak di Selangor disiasat susulan 10 aduan rasmi pengguna berhubung dakwaan petrol RON95 dicemari air sehingga menyebabkan kerosakan enjin kenderaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, sebanyak 27 tin sampel petrol RON95 diambil dan disita daripada pam pengisian terjejas untuk analisis makmal oleh Jabatan Kimia Malaysia.
"Siasatan mendapati aduan pengguna melibatkan pelbagai simptom kerosakan enjin seperti bunyi enjin tidak normal, tersengguk-sengguk, kehilangan kuasa, enjin gagal dihidupkan serta terdapat kes injap enjin terbakar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih membimbangkan, pemeriksaan lanjut oleh pusat servis pengeluar kenderaan turut mengesahkan kerosakan enjin sebahagian kenderaan pengadu berpunca daripada pencemaran air dalam tangki bahan api.
Bagaimanapun, keputusan analisis makmal terhadap sampel petrol yang disita masih diperlukan bagi menentukan sama ada pencemaran berlaku pada bekalan petrol di stesen minyak terbabit.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook semalam, KPDN Selangor memaklumkan pemeriksaan mengejut dijalankan di beberapa stesen minyak sekitar Klang, Sungai Buloh, Puchong dan Shah Alam susulan aduan pengguna berhubung isu berkenaan.
Muhamad Hanif berkata, walaupun semua premis terbabit memiliki lesen yang masih sah, notis di bawah Seksyen 32 Akta Perihal Dagangan 2011 tetap dikeluarkan bagi mendapatkan dokumen dan maklumat berkaitan untuk membantu siasatan terhadap kemungkinan pelanggaran undang-undang.
Tambahnya, siasatan turut dijalankan berhubung kemungkinan pelanggaran Seksyen 5(1)(c) yang dibaca bersama Seksyen 6(1)(d) dan Seksyen 7 Akta Perihal Dagangan 2011 berkaitan dakwaan perihal dagangan palsu berhubung kandungan petrol yang dibekalkan.
Beliau turut mengingatkan syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak supaya memastikan tangki simpanan bawah tanah diselenggara secara berkala, selain menasihatkan pengguna terjejas menyimpan resit pembelian petrol serta laporan pemeriksaan bengkel bagi membantu siasatan lanjut.