SIBU: Tawaran pekerjaan bergaji lumayan di luar negara boleh bertukar menjadi perangkap sindiket jenayah antarabangsa, apabila pencari kerja diperdaya sehingga dipaksa menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.
Pengerusi Yayasan Pendidikan dan Kebajikan Asia Tenggara (SEAWEED) Datuk Mustapha Ahmad Marican berkata golongan muda khususnya lepasan sekolah, antara yang mudah terperdaya dengan tawaran gaji tinggi, serta pelbagai kemudahan menarik diiklankan menerusi media sosial.
Beliau berkata mangsa lazimnya hanya menyedari diperdaya selepas tiba di negara destinasi apabila pasport mereka dirampas, pergerakan disekat dan dipaksa melakukan pekerjaan yang sama sekali berbeza daripada tawaran asal.
“Apabila sudah berada dalam cengkaman sindiket, mangsa terpaksa mengikut arahan kerana bimbang keselamatan diri terancam,” katanya kepada Bernama.
Mengimbas penglibatannya dalam usaha menyelamatkan 47 rakyat Malaysia termasuk 40 warga Sarawak yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja pada awal 2019, Mustapha berkata kes itu membuktikan bagaimana tawaran pekerjaan boleh dijadikan umpan memperdaya mangsa.
Beliau berkata kumpulan berkenaan pada asalnya ditawarkan pekerjaan dalam sektor perhotelan lima bintang dengan gaji AS$1,200 sebulan, termasuk kemudahan penginapan dan makanan.
“Sebaliknya, mereka akhirnya terlibat dalam kegiatan penipuan perjudian dalam talian sebelum ditahan polis Kemboja,” katanya.
Mustapha berkata mangsa berkenaan bernasib baik kerana tidak dibawa ke kawasan berhampiran sempadan, yang menurutnya lebih sukar diakses bagi tujuan menyelamat.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai risiko eksploitasi lebih serius, termasuk pemerdagangan manusia dan eksploitasi seksual terhadap mangsa wanita.
Sehubungan dengan itu, Mustapha mengingatkan pencari kerja dari Sarawak supaya tidak menerima tawaran pekerjaan luar negara tanpa mengesahkan kesahihan majikan, lokasi pekerjaan dan syarat kontrak.
Mustapha berkata semakan dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Luar Negeri serta perbincangan bersama keluarga penting sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Jangan terlalu mudah percaya dengan tawaran gaji lumayan. Fikirkan soal keselamatan dan masa depan kerana peluang pekerjaan juga banyak tersedia di Sarawak dan Semenanjung,” katanya.
Mustapha yang pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sibu pada 1980-an menerima sijil penghargaan atas penglibatannya dalam usaha menyelamatkan rakyat Sarawak dari Kemboja.
Penghargaan itu disampaikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing pada Malam Warisan Samudera: Gala Amal Veteran anjuran Persatuan Veteran TLDM Cawangan Sarawak di sini, Sabtu lepas.
-- BERNAMA