KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mempertimbangkan permohonan peruntukan khas pada Sidang Parlimen kali ini bagi memperkukuh usaha menangani gejala buli dan jenayah dalam kalangan pelajar.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan bahawa sistem sedia ada yang meletakkan tanggungjawab sebagai warden kepada guru tidak lagi relevan kerana mereka turut dibebankan dengan tugas hakiki sebagai pendidik.
"Meletakkan bebanan tugas sebagai warden kepada guru sudah tidak lagi berkesan dengan hanya elaun tambahan RM300.
"Realiti bebanan tugas hakiki sebagai guru pastinya tidak munasabah untuk mereka berjaga dan melakukan pemantauan berterusan di asrama sepanjang masa, terutamanya pada waktu berisiko," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Asyraf berkata, dapatan kajian yang dilaksanakan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) selama enam bulan di empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) menerusi projek rintis pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
Menurut beliau, kajian itu mendapati keupayaan guru untuk menggalas tugas warden dalam menangani pelbagai isu disiplin pelajar termasuk buli adalah terhad disebabkan komitmen tugas yang sedia ada.
"MARA bersedia berkongsi hasil kajian ini dengan pihak Kementerian Pendidikan tanpa sekelumit niat untuk mengajar, tetapi atas rasa tanggungjawab bersama untuk kita menangani isu buli dan disiplin pelajar secara bersama," katanya lagi.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa pelantikan warden sepenuh masa bukan satu-satunya penyelesaian kepada masalah tersebut.
"Pembentukan nilai, akhlak dan disiplin pelajar turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain termasuk peranan ibu bapa, media, kesihatan mental serta persekitaran sosial.
"Ini bukan juga menafikan faktor-faktor lain yang turut menyumbang dalam membangunkan nilai, akhlak dan disiplin pelajar termasuk peranan ibu bapa, media, isu kesihatan mental dan pelbagai lagi. Seperti kata pepatah Inggeris, 'It takes a village to raise a child'," ujarnya lagi.