KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu kerjasama antara Sabah dan Amerika Syarikat (AS), yang berteraskan rasa hormat dan kepentingan bersama, terus diperkukuh.
Beliau berkata hubungan dua hala antara Sabah dan AS bukan hanya melibatkan kerajaan malah pelajar, usahawan, penyelidik, aktivis pemuliharaan dan komuniti yang bekerjasama.
"Dengan membina perkongsian berasaskan kemampanan, peluang dan rasa hormat bersama, Sabah dan Amerika Syarikat boleh menyumbang kepada masa depan yang lebih makmur dan selamat.
“Marilah kita gunakan kesempatan ini untuk memperdalam kerjasama, menterjemahkan idea kepada tindakan dan mengubah peluang kepada kejayaan yang berkekalan," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun pada Majlis Resepsi Freedom 250 sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS di sebuah hotel di sini malam ini, yang diedarkan kepada Bernama.
Turut hadir Penolong Setiausaha Negara AS bagi Pendidikan dan Hal Ehwal Budaya Catherine Dillon dan Kuasa Usaha Kedutaan AS di Malaysia David H Gamble Jr.
Hajiji juga berkata sebagai sebahagian daripada Malaysia, hubungan Sabah dengan AS berlangsung dalam kerangka perkongsian Malaysia-AS yang lebih luas dan mewujudkan peluang dalam bidang penting seperti perdagangan, pendidikan, pemuliharaan alam sekitar, pelancongan, inovasi dan keselamatan maritim.
“Dengan kedudukan strategik di tengah-tengah Asia Tenggara serta mempunyai hubungan dengan pasaran serantau dan global yang semakin berkembang, Sabah merupakan sebuah wilayah yang memiliki daya tahan, kepelbagaian, bakat dan cita-cita.
“Daripada kekayaan sumber semula jadi dan sektor pelancongan yang berkembang pesat kepada tenaga boleh diperbaharui, pertanian, pembuatan, inovasi digital dan ekonomi biru, Sabah menawarkan peluang bermakna untuk pertumbuhan mampan,” katanya.
Beliau mempelawa para pelabur untuk memanfaatkan pertanian bernilai tinggi, pemprosesan hiliran, ekopelancongan, tenaga bersih, logistik, perkhidmatan digital atau pembangunan sumber secara mampan dan memberi jaminan bahawa kerajaan negeri komited untuk meningkatkan kesalinghubungan, memudah cara pelaburan serta mewujudkan keadaan yang membolehkan perniagaan berkembang dengan penuh keyakinan.
Hajiji berkata berdasarkan sejarah, hubungan antara AS dan rakyat Sabah bermula pada 1865, hampir seabad sebelum pembentukan Malaysia, apabila Konsul Amerika ke Brunei ketika itu, Claude Lee Moses memperoleh hak ke atas kawasan berhampiran Sungai Kimanis sebelum membuka sebuah penempatan dikenali sebagai "Ellena" untuk mengusahakan tanaman kopi, lada dan tembakau.
Beliau berkata pada 1899, USS Bennington belayar memasuki Sandakan bagi lawatan rasmi pertama sebuah kapal pengangkut pesawat Amerika ke perairan Sabah manakala pada 1912, syarikat-syarikat Amerika mula menjalankan penerokaan minyak di negeri berkenaan.
"Ahli botani terkemuka Amerika datang pada 1914 untuk mengkaji hutan kita, dan pada 1920, dua pembikin filem dokumentari Osa dan Martin Johnson melakukan ekspedisi besar ke Borneo Utara British (kini Sabah) untuk merakam hidupan liar tempatan serta budaya masyarakat pribumi,” katanya.
Hajiji berkata generasi rakyat Sabah telah menimba ilmu daripada sukarelawan Peace Corps, guru-guru Fulbright dan program American Corner di Universiti Malaysia Sabah manakala syarikat seperti ConocoPhillips, McDermott dan Baker Hughes membantu membekalkan tenaga kepada grid elektrik, menyediakan pekerjaan selain menyokong sekolah serta projek bekalan air bersih.
“Dalam aspek keselamatan juga, lawatan kapal secara berkala dan latihan seperti Pacific Partnership telah memperkukuh keselamatan perairan serta rakyat kita.
“Dalam budang pemuliharaan, banyak usaha telah dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri yang memberi manfaat kepada Taman Tun Mustapha, Lembah Danum dan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo bagi melindungi keunikan Sabah serta membangunkan industri pelancongan mampan berasaskan khazanah tersebut," katanya.
-- BERNAMA