KUALA LUMPUR: Industri florikultur bukan sekadar mengetengahkan estetika dan kecantikan, sebaliknya merupakan subsektor bernilai tinggi yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara, pendapatan pengusaha tempatan, pemerkasaan keluarga dan agenda keterjaminan makanan.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, usaha dan promosi oleh pelbagai pihak, khususnya Jabatan Pertanian perlu terus dipergiat, bagi membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada usahawan muda, wanita dan pekebun kecil.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, perkembangan industri berkenaan, turut mampu memberi limpahan manfaat kepada sektor agropelancongan, e-dagang dan penataan landskap bandar.
“Ia merupakan subsektor bernilai tinggi yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara, pendapatan pengusaha tempatan, pemerkasaan keluarga serta agenda keterjaminan makanan,” katanya ketika merasmikan Laman Florikultur Agromakanan Magica Garden, Jabatan Pertanian bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS di Serdang, Selangor hari ini.
Dr Wan Azizah berkata, industri florikultur negara, menyumbang RM3.1 bilion kepada nilai eksport keseluruhan negara bagi tempoh 2018 hingga 2024, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-10 sebagai pengeksport florikultur dunia dan peneraju utama di rantau ASEAN.
Dr Wan Azizah turut menggalakkan peralihan daripada pengeluaran konvensional kepada rantaian nilai berasaskan teknologi pintar bagi meningkatkan pengeluaran dan hasil, mempromosikan produk serta memastikan kualiti.
Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan, institusi penyelidikan dan pihak swasta penting untuk memperkukuh jaringan logistik serta infrastruktur nurseri moden negara.
Dalam pada itu, beliau berharap inisiatif dan usaha kreatif seperti Laman Magica Garden terus menjadi pemangkin kepada pembangunan industri florikultur tempatan yang mampan, berdaya saing dan bertaraf dunia.
Dr Wan Azizah yakin usaha berkenaan turut menyumbang kepada kejayaan penganjuran MAHA 2026, khususnya dalam menarik minat dan menggalakkan lebih ramai petani serta pengusaha muda menceburi bidang florikultur.
-- BERNAMA