KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Britain, Keir Starmer mengumumkan akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Holborn dan St Pancras kira-kira enam minggu selepas berundur sebagai ketua kerajaan susulan kehilangan sokongan Parti Buruh.
Beliau sebelum ini berhasrat kekal sehingga pilihan raya umum akan datang, berkata beliau mengubah keputusan itu bagi menumpukan perhatian kepada hal ehwal antarabangsa.
“Selepas membuat pertimbangan, saya memutuskan bahawa kini masa yang tepat untuk berundur sebagai Ahli Parlimen Holborn dan St Pancras serta menyerahkan tanggungjawab ini kepada pengganti,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.
It has been an honour and a privilege to represent Holborn and St Pancras for the last 11 years.
My statement. pic.twitter.com/xzu4xcIno2— Keir Starmer (@Keir_Starmer) September 1, 2026
Jelasnya, tempoh musim panas memberinya ruang untuk merenung dan mempertimbangkan masa depannya sebelum memutuskan bahawa kini masa yang tepat untuk berundur.
Starmer berkata, beliau berbesar hati dapat mewakili kawasan berkenaan selama 11 tahun, namun kini mahu memberikan tumpuan kepada beberapa isu lain di peringkat antarabangsa.
“Sudah tiba masanya untuk saya berundur dan memberi tumpuan kepada hal ehwal antarabangsa, termasuk pertahanan, keselamatan, perdagangan dan teknologi dalam dunia yang berubah dengan pantas,” katanya.
Beliau turut berikrar meneruskan usaha menangani isu melibatkan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
Beliau turut menyatakan, proses memilih penggantinya bermula menjelang pilihan raya kecil, dengan calon Parti Buruh yang dipilih bakal menerima sokongan penuhnya.
“Sesiapa yang dipilih sebagai calon Parti Buruh di sini akan menerima sokongan penuh saya. Saya juga akan terus memberikan sokongan sepenuhnya kepada Perdana Menteri dan kerajaan Parti Buruh,” katanya lagi.
Starmer memimpin Parti Buruh kembali berkuasa pada 2024 dengan antara majoriti Parlimen terbesar dalam sejarah moden Britain.
Kemenangan itu melengkapkan kebangkitan luar biasa parti berkenaan selepas beliau mengambil alih kepimpinan pada 2020, susulan prestasi pilihan raya terburuk Parti Buruh sejak 1935.
Namun, beberapa keputusan dasar yang ditarik balik menjejaskan pentadbirannya, selain beliau dilihat gagal membina hubungan kukuh dengan pengundi sehingga sokongan rakyat dan parti semakin merosot.
Starmer akhirnya digantikan oleh Andy Burnham pada Julai lalu, menjadikan Burnham Perdana Menteri Britain ketujuh dalam tempoh sedekad.