KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa sektor industri negara agar lebih dinamik dan kreatif dalam mendepani perubahan pesat ekonomi global, khususnya menerusi penguasaan teknologi baharu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi.
Beliau berkata dinamika industri menuntut kesediaan kerajaan dan pemain industri untuk melakukan perubahan dengan pantas, selain memastikan dasar ekonomi yang dirangka dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Industri ini dinamik dan kerana dinamika ini menuntut kita bersedia membawa perubahan yang pantas. Sebab itu tatkala merangka Belanjawan baru-baru ini, saya ingatkan kawan-kawan di Perbendaharaan, Kementerian Kewangan ‘jangan kita mula dengan kerangka kita'.
“Kita harus mula dengan kerangka semua sektor di bawah, kemudian baru kita lihat sama ada perkara itu boleh diserasikan dengan pelbagai kaum, agama, sentimen dan wilayah,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di sini, malam ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Timbalannya Sim Tze Tzin.
Perdana Menteri berkata pertumbuhan ekonomi dan peningkatan eksport juga perlu diseimbangkan dengan usaha memastikan manfaat pembangunan dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa melebarkan jurang ketidaksamaan.
“Kita tidak boleh bincang tentang soal memacu pertumbuhan, eksport yang tinggi, angka yang menakjubkan, tetapi kesenjangan, ketidaksamaan melebar.
“Kelompok miskin terpinggir, sama ada di Hulu Kelantan atau di Kapit, Sarawak terbiar, tidak boleh. Jadi, negara kita ini harus mempunyai satu pendekatan, memusatkan perhatian kita, langkah-langkah yang perlu untuk mengangkat ekonomi, menggapai di langit, tetapi masih mengakar di bumi,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata Malaysia tidak boleh terus bergantung pada pendekatan ekonomi lama, sebaliknya perlu meningkatkan keupayaan industri bagi memastikan negara kekal berdaya saing.
Anwar berkata penguasaan bidang baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) penting kerana kegagalan menguasainya boleh menyebabkan Malaysia ketinggalan, walaupun negara mempunyai sumber manusia dan kelebihan industri yang boleh dimanfaatkan.
Selain itu, beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan dengan pemain industri penting bagi memastikan dasar yang dirangka dapat dilaksanakan secara berkesan.
Pada majlis berkenaan, Anwar turut menyampaikan Anugerah Perdana Menteri, iaitu pengiktirafan tertinggi AKI kepada UMW Aerospace Sdn Bhd, berasaskan penilaian menyeluruh terhadap kecemerlangan pengurusan, kualiti produk berimpak tinggi, amalan kelestarian serta integrasi teknologi termaju syarikat.
-- BERNAMA