Skip to main content

Malaysia

Industri tempatan digesa perkukuh teknologi sendiri - Johari

Johari menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di Menara MITI hari ini.  - Gambar Bernama
Johari menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di Menara MITI hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan membangunkan teknologi sendiri, memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), membina jenama yang kukuh serta menguasai pasaran eksport.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha itu sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mengalihkan tumpuan industri Malaysia daripada aktiviti pemasangan kepada reka bentuk dan kejuruteraan, selain menghasilkan produk berteknologi serta bernilai tambah tinggi.

"Kita mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan membangunkan teknologi sendiri, memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan atau R&D, membina jenama yang kukuh serta menguasai pasaran eksport.

"Kerajaan mahu industri Malaysia bergerak daripada aktiviti pemasangan kepada reka bentuk dan kejuruteraan; daripada pengeluaran produk asas kepada produk berteknologi dan bernilai tambah tinggi; serta daripada menjadi pembekal domestik kepada pembekal yang dipercayai oleh syarikat multinasional dan peneraju industri global," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di ibu negara pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Johari berkata, AKI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) merupakan dua instrumen yang saling melengkapi dalam memperkukuh pembangunan industri negara.

Menurutnya, hala tuju AKI perlu bergerak seiring dengan aspirasi NIMP 2030 supaya pengiktirafan yang diberikan mencerminkan pencapaian syarikat serta potensi mereka menjadi peneraju dan pemangkin pertumbuhan industri Malaysia, selain memainkan peranan dalam mengurangkan import negara.

Sehubungan itu, kriteria kecemerlangan AKI perlu terus diperkukuh, khususnya dalam aspek teknologi, produktiviti, pembangunan bakat, kelestarian, pertumbuhan eksport dan penyertaan dalam rantaian bekalan global.

"Matlamat kita adalah untuk melahirkan syarikat yang berjaya serta membina industri Malaysia yang lebih produktif, berteknologi tinggi dan bernilai tambah tinggi.

"Kemajuan ini mesti diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta peningkatan pendapatan dan taraf hidup rakyat. Inilah aspirasi kita yang perlu dikukuhkan," jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement