PUTRAJAYA: Kehadiran individu di premis Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak semestinya bermaksud individu tersebut sedang memohon atau akan diberikan MyKad.
JPN dalam hantaran di laman sosialnya memaklumkan pelbagai jenis perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi disediakan jabatan termasuk kepada individu bukan warganegara bergantung kepada jenis urusan dijalankan.
“Terdapat pelbagai urusan lain di JPN yang sememangnya melibatkan bukan warganegara termasuk urusan pendaftaran kelahiran serta perkahwinan sivil dengan pasangan bukan warganegara.
“Justeru, jangan membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di JPN atau sekeping gambar tanpa mengetahui urusan sebenar yang sedang dijalankan,” menurut hantaran itu.
Hantaran itu dimuat naik sebagai maklum balas kepada dakwaan kehadiran individu warga asing di premis JPN yang mengaitkannya dengan urusan membuat kad pengenalan.
JPN turut menjelaskan sijil kelahiran berwarna merah jambu ialah bukti kelahiran telah didaftarkan di Malaysia dan bukan bukti individu tersebut warganegara Malaysia.
Sijil itu turut dikeluarkan kepada individu berstatus bukan warganegara termasuk mereka yang tidak memenuhi syarat untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia.
“Ini kerana setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia perlu didaftarkan tanpa mengira sama ada ibu atau bapa kanak-kanak tersebut warganegara atau bukan warganegara.
“Pendaftaran ini penting bagi memastikan setiap kelahiran direkodkan secara rasmi dan tidak bermaksud kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu berkenaan,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA