GUA MUSANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan mengesahkan kejadian tanah runtuh di Jalan Lojing-Gua Musang (FT185) berhampiran Yayasan Albarakah di sini, semalam yang mengakibatkan rekahan sepanjang 30 meter pada permukaan jalan.
Pengarah JKR Kelantan Nik Badlihisham Nik Ismail berkata runtuhan di Seksyen 84.15 itu membabitkan kawasan sepanjang 20 meter dengan kedalaman 30 meter.
Beliau berkata pemantauan sedang dijalankan di lokasi kejadian dengan Tanda Maklumat Pemberitahuan telah dipasang sebagai amaran kepada pengguna jalan raya.
“Kerosakan turut dikesan pada komponen sistem saliran cerun, namun laluan itu masih dibuka kepada semua kenderaan tanpa laluan alternatif disediakan setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian tersebut.
Beliau menasihatkan pengguna supaya mematuhi papan tanda amaran serta berhati-hati ketika melalui kawasan itu terutama ketika hujan.
-- BERNAMA
TAG: polis, JKR, tanah runtuh, Lojing, amaran