SEREMBAN: Reman terhadap lelaki yang disyaki membunuh isterinya di sebuah unit kediaman di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, disambung tujuh hari lagi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata lelaki itu disambung reman hingga 29 Okt selepas tempoh reman yang bermula 16 Okt lepas berakhir hari ini.
“Polis masih menjalankan siasatan kes membabitkan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang dipercayai dibunuh suaminya di rumah mereka.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Media sebelum melaporkan bedah siasat mendapati punca kematian wanita itu, Norhazwani Ibrahim, 35, akibat tekanan pada bahagian leher selain pemeriksaan menemukan tiga kesan tikaman menggunakan senjata tajam, masing-masing dua di bahagian perut dan satu di pipi kanan.
Wanita itu ditemukan maut pada 15 Okt lepas selepas disyaki ditikam suaminya di kuarters itu, dipercayai akibat perselisihan faham.
Polis menerima laporan mengenai kejadian pada 9.30 malam selepas suami mangsa menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.
-- BERNAMA