JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor melaksanakan Program Semarak Maghrib dan Isyak yang akan dilakukan di masjid seluruh negeri ini sebagai usaha memperkasakan budaya solat berjemaah, mengimarahkan institusi masjid serta meningkatkan syiar Islam.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata program berkenaan mencerminkan iltizam kerajaan negeri untuk memastikan masjid terus menjadi pusat ibadah, penyebaran ilmu dan pengukuhan ukhuwah dalam kalangan umat Islam.
Beliau berkata inisiatif itu juga merupakan antara manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang akan dilaksanakan sebagai memenuhi amanah diberikan rakyat.
"Jika sebelum ini kita berusaha menyemarakkan solat Subuh berjemaah di seluruh negeri, ikhtiar ini diteruskan dengan menyemarakkan solat Maghrib dan Isyak agar masjid sentiasa hidup dengan solat berjemaah, majlis ilmu dan pengisian rohani," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Program julung kali itu diadakan di Masjid Jamek As-Syakirin, Bukit Saujana, di sini Selasa lepas.
Majlis berkenaan turut diisi dengan perkongsian Hadis 40 bertajuk Niat Penentu Perbuatan Hamba yang disampaikan Kadi Daerah Johor Bahru Mohd Zaini Mohd Salleh, selain bacaan surah Al-Mulk bersama para jemaah.
Onn Hafiz dalam pada itu mengajak umat Islam di negeri itu untuk bersama-sama menjayakan Program Semarak Maghrib dan Isyak dengan terus hadir memakmurkan rumah Allah SWT.
Beliau berkata inisiatif berkenaan merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri meningkatkan syiar Islam dalam membina Johor yang maju berlandaskan al-Quran dan sunnah.
"Semoga setiap langkah menuju ke masjid, setiap saf yang dipenuhi dan setiap doa yang dipanjatkan membawa rahmat, keberkatan serta kesejahteraan buat negeri Johor Darul Ta'zim," katanya.
-- BERNAMA