Skip to main content

Malaysia

Johor rekod anggaran 5,000 anak penyu menetas setiap tahun

Pulau Tinggi catat rekod tertinggi penetasan atas faktor kurang didiami, selain kedudukannya yang terpencil, sekali gus mengurangkan gangguan aktiviti manusia serta ancaman pemangsa. - Gambar hiasan
Pulau Tinggi catat rekod tertinggi penetasan atas faktor kurang didiami, selain kedudukannya yang terpencil, sekali gus mengurangkan gangguan aktiviti manusia serta ancaman pemangsa. - Gambar hiasan

Advertisement

MERSING: Johor terus mencatat perkembangan positif dalam pemuliharaan penyu, terutamanya spesies penyu karah dan penyu agar, apabila dianggarkan 5,000 ekor anak penyu berjaya menetas setiap tahun menerusi usaha perlindungan di kawasan pendaratan dan tapak penetasan. 

Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Johor Rosmawati Ghazali berkata antara lokasi pendaratan utama penyu dikenal pasti ialah di Pulau Apil, Pulau Dayang, Pulau Besar dan Pulau Tinggi, di sini. 

Beliau berkata Pulau Tinggi mencatat rekod tertinggi penetasan atas faktor kurang didiami, selain kedudukannya yang terpencil, sekali gus mengurangkan gangguan aktiviti manusia serta ancaman pemangsa seperti anjing dan biawak.

Bagaimanapun, Rosmawati berkata telur penyu yang dibiarkan menetas secara semula jadi masih berdepan risiko tinggi, menyebabkan telur yang ditemukan di kawasan pendaratan dipindahkan ke tapak pengeraman untuk dipantau dengan lebih rapi.

“Apabila penyu buat sarang sendiri sebenarnya banyak pemangsa dan kadar kelangsungan hidupnya rendah. Oleh itu, kita pindahkan telur yang ditemukan di kawasan pendaratan ke tapak penetasan (hatchery) supaya anggota kita boleh memantau dengan lebih dekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas meninjau kerja-kerja melabuh modul restorasi karang jenis cheese block di perairan Pulau Tinggi di sini, baru-baru ini.

Rosmawati berkata usaha pemuliharaan yang dibuat menerusi Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan itu penting memandangkan berdasarkan kajian, daripada setiap 1,000 anak penyu yang dilepaskan ke laut, hanya seekor dijangka mampu mencapai usia matang.

Sehubungan dengan itu, katanya, jabatan berkenaan terus mempergiat program pemuliharaan termasuk pendidikan dan kesedaran bersama-sama pelajar serta masyarakat setempat, selain pelabuhan tukun tiruan bagi membantu memelihara ekosistem marin.

Rosmawati berkata anak penyu berdepan dengan pelbagai ancaman pemangsa termasuk dari udara, darat dan laut sejak menetas selain perlu mencari kawasan makanan yang sesuai untuk membesar.

Beliau berkata faktor suhu turut memainkan peranan penting dalam menentukan jantina anak penyu yang menetas, dengan suhu lebih panas cenderung menghasilkan lebih banyak anak penyu betina, manakala suhu lebih rendah menghasilkan lebih banyak anak penyu jantan.

“Kadang-kadang kita dapat telur yang tidak tersenyawa, justeru, kita kena pastikan kawasan itu suhunya sesuai untuk memastikan anak penyu menjadi jantan kerana seekor betina memerlukan empat ekor jantan untuk persenyawaan.

"Oleh itu, kita dah buat nisbah lima ekor jantan dan 10 ekor betina di sini,” katanya sambil memaklumkan pemantauan dilakukan secara berkala oleh anggota termasuk merekodkan maklumat menerusi sistem pengurusan sumber perikanan, MyFiRSt.

Rosmawati berkata pusat penetasan turut terdapat di Pulau Besar, namun jumlah pendaratan penyu di pulau itu agak rendah selain berdepan kekangan bekalan elektrik dan air.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya terdapat pendaratan penyu di Pulau Besar, telur berkenaan akan dipindahkan ke pusat penetasan di Pulau Tinggi kerana mempunyai kemudahan lebih lengkap bagi membolehkan pemantauan dilakukan dengan lebih rapi.

Beliau berkata kawalan terhadap aktiviti manusia di kawasan penetasan juga penting memandangkan kawasan itu sensitif dan orang awam tidak digalakkan memasukinya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement