SEPANG: Seorang pemandu lori Roll On Roll Off (roro) tidak menyangka bungkusan barangan yang dipungut daripada kutipan sampah di Sungai Balak, Kajang berisi tiga butir disyaki bom mortar pada Jumaat.
Lebih mengejutkan, bungkusan itu tidak disedari pemandu lori itu hingga membawanya pulang ke rumah di Kampung Dato' Ahmad Razali di sini.
Menurut Md Raduan Ghani, 41, dia bekerja seperti biasa pada jam 4 pagi menjalankan kerja-kerja membuang sampah.
"Selepas kerja selesai saya pulang ke rumah dan bungkusan plastik warna merah yang diasingkan awal tadi itu masih ada dalam lori...memang tak tahu apa kandungannya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Kata Md Raduan, bila tiba di rumah dia keluarkan satu persatu barang itu dan terkejut objek itu ialah bom.
Jelasnya, jiran yang dimaklumkan kejadian itu segera menghubungi pihak polis.
"Saya terus ke Balai Polis Dengkil buat laporan. Memang tidak terfikir kejadian ini berlaku dan ini pertama kali jumpa benda pelik macam ini," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, laporan diterima pihaknya daripada pemandu terbabit kira-kira jam 3.30 petang.
Menurutnya, anggota Balai Polis Dengkil telah membuat kawalan awal sebelum Unit Pemusnah Bom (UPB) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) digerakkan ke lokasi.
"Pemeriksaan telah dijalankan dan tiga butir disyaki bom itu telah dibawa keluar ke tempat selamat.
"Keadaan di lokasi terkawal dan bom itu akan dimusnahkan pada esok (Sabtu)," katanya. - Sinar Harian