KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju memberikan kelulusan secara prinsip bagi cadangan pembangunan Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia–Seri Kembangan (BSE), kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata keputusan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan infrastruktur berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat, merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara secara mampan.
Nanta berkata BSE yang merupakan projek infrastruktur strategik berpotensi memperkukuh rangkaian pengangkutan serta meningkatkan kesalinghubungan di kawasan Greater Kuala Lumpur, dicadangkan sebagai laluan penghubung berkapasiti tinggi yang mengintegrasikan beberapa rangkaian lebuh raya utama.
“Ini termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban, Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) serta rangkaian Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (SPRINT).
“Pembangunan lebuh raya bertingkat di sepanjang jajaran strategik ini berpotensi menyediakan laluan alternatif kepada pengguna serta melancarkan pergerakan antara koridor utara, selatan dan pantai timur Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanta berkata kesalinghubungan yang lebih baik akan meningkatkan mobiliti rakyat, memperkukuh kecekapan logistik dan melancarkan pergerakan barangan manakala dari sudut kesejahteraan rakyat, BSE berpotensi mengurangkan masa perjalanan serta meningkatkan akses kepada pusat pekerjaan, institusi pendidikan dan perkhidmatan awam.
Beliau berkata selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, pembangunan BSE bukan sekadar pembinaan sebuah lebuh raya baharu tetapi juga pelaburan jangka panjang dalam memperkukuh kesalinghubungan, keterangkuman pembangunan dan daya saing ekonomi negara.
“Susulan kelulusan secara prinsip tersebut, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama-sama agensi berkaitan termasuk Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan meneruskan rundingan dan penilaian terperinci bagi memuktamadkan struktur pelaksanaan projek.
“Kerajaan akan memastikan setiap aspek projek dinilai secara menyeluruh, khususnya dari segi kepentingan awam, nilai terbaik kepada negara dan kemampanan fiskal, sebelum sebarang keputusan muktamad mengenai pelaksanaannya dibuat,” katanya.
Nanta berkata cadangan pembangunan BSE juga akan berpandukan pendekatan pembiayaan sektor swasta, sekali gus memastikan pelaksanaannya tidak melibatkan komitmen kewangan langsung daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata kerajaan juga akan meneliti beberapa cadangan penyelesaian infrastruktur lain secara terpilih bagi melengkapkan rangkaian jalan raya dan menangani isu kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.
Cadangan berkenaan akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan strategik, peningkatan kapasiti serta impak terhadap kelancaran trafik.
“KKR akan terus memastikan proses seterusnya dilaksanakan secara teliti, telus dan berteraskan kepentingan rakyat serta negara, selaras dengan komitmen kerajaan untuk membangunkan sistem pengangkutan yang lebih cekap, bersepadu dan mampan demi menyokong pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
-- BERNAMA