Skip to main content

Malaysia

Kerajaan galak rakyat guna aplikasi navigasi TuJu, ganti Waze - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan menggalakkan penggunaan aplikasi tempatan TuJu sebagai alternatif navigasi jalan raya bagi mengurangkan risiko keselamatan data rakyat.
  • Langkah ini dicadangkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara membincangkan ancaman siber dan keperluan memperkukuh kedaulatan digital negara.
  • Kerajaan turut memperkukuh ekosistem identiti bersepadu melalui MyKad dan MyDigital ID, disokong perlindungan siber yang lebih ampuh.

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel.

Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil 3/2026 bagi meneliti perkembangan ancaman siber serta memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara hari ini.

“Turut dibincangkan ialah pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC), ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan autonomi serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat. Justeru, kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad sebagai kredensial fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital, disokong perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui PQC,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri berkata usaha itu penting bagi memastikan pendigitalan perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengabaikan keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement