KUALA LUMPUR: Kejayaan merangkul tiga lagi pingat emas hari ini, satu pencapaian membanggakan, serta menyerlahkan kehebatan dan kesungguhan luar biasa atlet Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian cemerlang itu membolehkan kontinjen negara kini, telah mengumpul sembilan pingat emas dalam usaha mengharumkan nama Jalur Gemilang di pentas Asia.
“Tahniah dan syabas kepada para penyumbang emas hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tiga pingat emas yang diraih hari ini disumbangkan oleh jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin lelaki di Velodrom Izu, serta dominasi kem skuasy negara menerusi acara berpasukan wanita dan lelaki di Arena Nagoya Kinjo Futo.
Pada aksi final itu, skuasy berpasukan wanita dianggotai Aifa Azman, S. Sivasangari, Aira Azman dan Rachel Arnold menewaskan pasukan Hong Kong 2-1, manakala skuad lelaki dibarisi Ng Eain Yow, Sanjay Jeeva, C. Ameeshenraj dan Mohammad Syafiq Kamal menewaskan pasukan Pakistan 2-0.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kejayaan atlet negara, yang bakal beraksi pada pentas final esok.
“Esok, perjuangan memburu emas diteruskan oleh gandingan padel lelaki, Christian Didier Chin dan Aidan Yunus, serta skuad hoki lelaki yang akan beraksi di pentas final. Sama-sama kita doakan kejayaan mereka,” katanya.
-- BERNAMA