Skip to main content

Malaysia

Kerajaan Negeri Selangor jumpa pekerja kilang Panasonic minggu depan

SHAH ALAM, 8 Ogos -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas hadir pada Program MEGA JOBCARE Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Seksyen 4 hari ini._BERNAMA
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas hadir pada Program MEGA JOBCARE Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Seksyen 4 hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: erajaan Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan kumpulan pekerja yang dijangka terjejas susulan penutupan operasi kilang pengeluaran televisyen oleh Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd di negeri itu, minggu depan. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pertemuan itu akan diadakan oleh Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor V. Papparaidu dan wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mendapatkan maklumat berkaitan. 

“Minggu depan, Yang Berhormat Papparaidu akan berjumpa dengan kumpulan terbabit untuk mencari dan menawarkan sokongan yang diperlukan terutamanya di saat kemungkinan kilang mereka ditutup. 

“… langkah intervensi awal seperti bantuan bakul makanan itu sudah semestinya kita akan buat tetapi juga (membantu) mencarikan pekerjaan untuk mereka supaya mereka boleh menyambung kehidupan yang telah dibina bertahun-tahun di negeri ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Mega Jobcare Selangor 2026 di sini hari ini. 

Sebelum ini, Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic) menerusi kenyataan semalam mengumumkan penutupan operasi pengeluaran dua produk yang akan memberi kesan kepada 400 pekerja menjelang akhir Mac tahun depan. 

Sementara itu, Papparaidu berkata kerjasama dengan PERKESO dijangka membolehkan agensi berkenaan memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan kewangan dan bantuan kepada individu yang kehilangan pekerjaan khususnya ketika berdepan jangkaan pemberhentian tenaga kerja.

“Perkara paling penting ialah PERKESO menyediakan perlindungan insurans dan sekiranya diberhentikan kerja dan tidak mempunyai pekerjaan, mereka akan menerima bayaran secara berperingkat, iaitu seperti elaun mencari pekerjaan dengan bayaran sebanyak 80 peratus daripada gaji pada bulan pertama, 50 peratus bagi bulan kedua dan seterusnya 30 peratus.

“Ini adalah produk baharu PERKESO bagi membantu orang ramai khususnya rakyat Selangor yang bakal berdepan situasi pemberhentian kerja. Saya berharap kita dapat melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Mega Jobcare Selangor 2026 menghimpunkan 147 majikan membabitkan lebih 11,000 kekosongan jawatan dengan 62.2 peratus daripadanya menawarkan gaji melebihi RM3,000 sebulan.

Karnival kerjaya itu, yang dianjurkan dengan kerjasama MYFutureJobs dan menyasarkan peserta berusia antara 18 hingga 60 tahun, berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini dari 9 pagi hingga 5 petang dan akan berakhir esok.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement