Skip to main content

Malaysia

Kerajaan sasar kemiskinan di Terengganu turun kepada 20,000 isi rumah hujung tahun ini

KUALA TERENGGANU, 15 Ogos -- Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Strategik, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Norashiken Ishak (tengah) bercakap kepada pemberita pada Program Jelajah Kesejahteraan Rakyat Zon Kuala Terengganu dan Kuala Nerus 2026 anjuran ICU JPM Terengganu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Strategik, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Norashiken Ishak (tengah) bercakap kepada pemberita pada Program Jelajah Kesejahteraan Rakyat Zon Kuala Terengganu dan Kuala Nerus 2026 anjuran ICU JPM Terengganu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan menyasarkan jumlah isi rumah miskin di Terengganu dikurangkan kepada 20,000 isi rumah, menjelang Disember tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Strategik, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Norashiken Ishak berkata setakat 13 Ogos lepas, Terengganu merekodkan sebanyak 24,100 isi rumah miskin berbanding 26,800 isi rumah pada awal Julai lepas.

Beliau berkata usaha itu merupakan hasil tindakan bersepadu ICU JPM Terengganu bersama dengan agensi berkaitan yang dapat meningkatkan pendapatan, memperluas peluang ekonomi dan menstabilkan kehidupan peserta eKasih.

“Kami juga berjaya meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan dalam kalangan B40, khususnya peserta eKasih melalui 310 projek Rumah Kasih Ihsan yang dilaksanakan setakat Ogos tahun ini, dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM18.44 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Jelajah Kesejahteraan Rakyat Zon Kuala Terengganu dan Kuala Nerus 2026, anjuran ICU JPM Terengganu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini hari ini.

Norashiken berkata jumlah tersebut meliputi 161 projek bina baharu, 146 projek baik pulih rumah manakala tiga projek bina rumah baharu bertiang. 

“Insya-Allah kita akan meneruskan usaha ini dan ia juga merupakan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, program hari ini menghimpunkan perkhidmatan dan intervensi pelbagai agensi, bagi memudahkan masyarakat khususnya isi rumah eKasih memperoleh bantuan serta perkhidmatan mengikut keperluan.

Berteraskan nilai Ihsan, program itu dimeriahkan dengan kehadiran 4,000 pengunjung termasuk 700 peserta eKasih, selain menampilkan 18 reruai perkhidmatan kerajaan bagi urusan khidmat nasihat, semakan kelayakan dan pemadanan bantuan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement