Skip to main content

Malaysia

Kerajaan sokong usaha perkukuh tradisi keilmuan Islam demi ummah - PM

Anwar berkata pertemuan itu turut menyentuh cadangan penganjuran Seminar Antarabangsa Pemikiran al-Qaradawi pada tahun hadapan bagi memperluas wacana mengenai pemikiran Islam dan cabaran tadbir urus negara masa kini. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Anwar berkata pertemuan itu turut menyentuh cadangan penganjuran Seminar Antarabangsa Pemikiran al-Qaradawi pada tahun hadapan bagi memperluas wacana mengenai pemikiran Islam dan cabaran tadbir urus negara masa kini. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyokong usaha memperkukuh tradisi keilmuan, penyelidikan dan wacana pemikiran Islam yang mampu menyumbang kepada pembangunan tadbir urus negara serta kesejahteraan ummah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di platform X selepas menerima kunjungan hormat delegasi Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) yang diketuai Pengerusi Lembaga Pengarahnya merangkap Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

“Pertemuan membincangkan Pelan Tindakan Institut Pemikiran al-Qaradawi (IPQ) 2027-2030 yang memberi tumpuan kepada penyelidikan, penerbitan, pembangunan bakat dan pengukuhan jaringan keilmuan,” katanya.

Anwar berkata pertemuan itu turut menyentuh cadangan penganjuran Seminar Antarabangsa Pemikiran al-Qaradawi pada tahun hadapan bagi memperluas wacana mengenai pemikiran Islam dan cabaran tadbir urus negara masa kini.

Dalam hantaran berasingan, Anwar berkata kerajaan sentiasa menghargai sumbangan pertubuhan masyarakat yang komited mendukung agenda pembangunan negara, memperkukuh nilai kebersamaan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan delegasi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) diketuai Presidennya Datuk Mohd Foad Mat Isa.

Beliau berkata pertemuan itu juga menjadi ruang mempererat hubungan antara kerajaan dengan pertubuhan masyarakat serta memperkukuh kerjasama dalam memelihara perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement