KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesan sindiket penyeludupan petrol dan diesel di sempadan Malaysia-Thailand menggunakan taktik “tentera semut”, iaitu membawa bahan api dalam kuantiti kecil secara berulang kali bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Pengarah KPDN Kelantan Hanif Yusabra Yusof berkata sindiket menggunakan kaedah itu susulan penguatkuasaan yang dipertingkatkan menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu dan operasi bersama-sama pelbagai agensi, namun cubaan penyeludupan masih berlaku berikutan permintaan terhadap bahan api bersubsidi serta perbezaan harga antara Malaysia dan negara jiran.
Beliau berkata hingga kini, KPDN Kelantan merekodkan 318 kes membabitkan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan dengan tangkapan sebanyak 135 individu serta menyita 193 kenderaan bernilai keseluruhan RM1.875 juta.
“Nilai rampasan barang kawalan pula berjumlah RM552,000, termasuk 24,446 liter petrol bernilai RM63,500 dan 48,500 liter diesel bernilai RM218,000. Semua kes kini berada dalam pelbagai peringkat siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Hanif Yusabra berkata antara kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan kegiatan penyeludupan ialah Rantau Panjang di Pasir Mas, Pengkalan Kubor di Tumpat dan beberapa laluan berhampiran Sungai Golok berikutan kedudukannya yang berhampiran sempadan serta kewujudan banyak laluan tikus.
Beliau berkata selain menggunakan kumpulan kecil yang dikenali sebagai “tentera semut”, sindiket turut mengubah suai tangki kenderaan, memasang tangki tambahan pada kenderaan pelbagai guna serta mengumpul bahan api secara berperingkat daripada beberapa stesen minyak sebelum dipindahkan ke dalam tong dan dibawa melalui laluan tidak sah.
“Mereka juga kerap mengubah masa serta lokasi pergerakan bagi mengelakkan dikesan. Taktik “tentera semut” pula membolehkan bahan api diseludup secara berulang kali dalam kuantiti kecil untuk melepasi kawalan penguatkuasaan di sempadan,” katanya.
Beliau berkata Ops Tiris memberi impak positif apabila kerjasama antara KPDN, polis, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Kastam, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta agensi berkaitan berjaya meningkatkan kadar pengesanan dan rampasan, selain memberi kesan pencegahan kepada sindiket.
Mengulas dakwaan pembabitan pemilik stesen minyak atau syarikat dalam kegiatan penyeludupan, Hanif Yusabra berkata KPDN tidak menolak kemungkinan itu namun setiap dakwaan akan disiasat secara teliti berdasarkan risikan, bukti dan fakta yang kukuh.
“Jika terdapat elemen pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata antara cabaran utama KPDN ialah keluasan kawasan sempadan, kewujudan banyak laluan tidak sah, taktik sindiket yang sentiasa berubah serta keuntungan lumayan hasil kegiatan penyeludupan.
Sehubungan itu, beliau berkata KPDN akan terus memperkukuh risikan, meningkatkan operasi berasaskan maklumat, memperluaskan kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa serta memperhebat pemantauan terhadap rantaian pengedaran bahan api bersubsidi dengan sokongan teknologi termasuk penggunaan dron dan sistem pemantauan pintar.
Hanif Yusabra berkata penyeludupan bahan api bukan sahaja menyebabkan ketirisan subsidi negara, malah berpotensi menjejaskan bekalan kepada pengguna tempatan khususnya di kawasan sempadan jika tidak dibendung secara berkesan.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan melalui saluran aduan rasmi kerana pendekatan menyeluruh yang menggabungkan penguatkuasaan, teknologi dan kerjasama masyarakat diyakini mampu membendung kegiatan itu dengan lebih berkesan.
-- BERNAMA