PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memulakan persiapan MAHA 2028 lebih awal dengan meneliti cadangan penambahbaikan serta memperkukuh kesiapsiagaan tapak penganjuran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perancangan awal diperlukan bagi memastikan penganjuran akan datang lebih tersusun, di samping menangani kelemahan yang dikenal pasti sepanjang MAHA 2026.
“Persiapan dan perancangan awal untuk MAHA seterusnya boleh digerakkan dari sekarang. Segala cadangan penambahbaikan yang dikemukakan semasa post mortem wajar diteliti kesesuaian pelaksanaan terutama jika ia melibatkan kos kewangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi MAHA 2026 di Putrajaya, pada Khamis.
Menurutnya, kesiapsiagaan tapak penganjuran juga perlu dipertingkat agar kemudahan berkenaan mampu beroperasi secara optimum ketika menerima jumlah pengunjung yang besar.
“Tapak penganjuran MAHA juga wajar ditingkatkan kesediaan supaya ia dapat beroperasi pada tahap yang optimum. Keupayaan MARDICorp untuk menjana hasil untuk digunakan bagi tujuan di atas perlu diteliti kesesuaian pelaksanaan,” jelasnya.
Bagi MAHA 2028, kementerian itu merancang pengisian program yang lebih inovatif, penyertaan industri lebih meluas serta pengalaman pengunjung yang dipertingkatkan.
Dalam pada itu, Mohamad mahu hala tuju penganjuran seterusnya terus menyokong usaha memodenkan sektor agromakanan melalui penggunaan teknologi dan inovasi, selaras dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
“MAHA 2026 pula dilihat sebagai pengukuhan kepada usaha yang telah dan sedang kita lakukan dalam menganjak sektor agromakanan ke arah pemodenan dan nilai tinggi.
“Sebab itu pengisian tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ perlu kita sambut dengan setiap inisiatif Kementerian selepas ini menekankan kepada peralihan pertanian moden, dipacu dan dihebatkan dengan aplikasi teknologi dan inovasi, tidak mengorbankan alam sekitar yang lestari demi generasi masa hadapan,” katanya.
Penganjuran MAHA 2026 turut mencatatkan dua juta penglibatan belia, yang disifatkan Mohamad sebagai petunjuk positif terhadap masa depan sektor agromakanan negara.
“Dengan catatan 2 juta penglibatan belia pada MAHA 2026, ia merupakan isyarat positif yang masa depan sektor agromakanan akan dipelihara dan diteruskan oleh golongan belia. Program usahawan belia dan bimbingan daripada pemimpin industri yang telah kita tonjolkan kepada golongan belia semasa MAHA 2026 perlu diteruskan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru supaya kerjasama KPKM dengan kementerian lain, kerajaan negeri, pemain industri, pihak berkepentingan dan rakan antarabangsa diperluas bagi meningkatkan sumbangan MAHA kepada pembangunan sektor agromakanan.
Sebagai rekod, MAHA 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September lalu menerima lebih lima juta pengunjung, merekodkan jualan melebihi RM73 juta serta menyaksikan pemeteraian 97 Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai lebih RM10.35 bilion.