Skip to main content

Malaysia

Lebih 329,000 guru terima latihan AI, persediaan hadapi perubahan teknologi

Menteri Pendidikan Fadhlina mahu memastikan warga pendidik tidak ketinggalan dalam menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat. - Gambar fail
Menteri Pendidikan Fadhlina mahu memastikan warga pendidik tidak ketinggalan dalam menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seramai 329,414 guru telah menerima latihan berkaitan kecerdasan buatan (AI), kemudahan digital dan pembangunan bakat murid dalam bidang teknologi sebagai sebahagian usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuh kesiapsiagaan sektor pendidikan menghadapi era digital.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu penting bagi memastikan warga pendidik tidak ketinggalan dalam menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat.

Menurut beliau, selain latihan guru, seramai 1.5 juta murid turut menerima pendedahan berkaitan asas teknologi dan AI menerusi pelbagai program pendidikan.

“Guru juga tidak boleh dibiarkan menghadapi perubahan ini tanpa persediaan. Para guru telah diberikan latihan melibatkan 329,414 orang guru, manakala murid mencecah 1.5 juta orang.

“Pendedahan ini penting kerana anak-anak diberikan pendedahan melalui STEM, pengaturcaraan robotik dan juga inovasi digital,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan mengenai perancangan kementerian untuk mengintegrasikan literasi AI dalam silibus sekolah menerusi Panduan Literasi AI.

Menurut Fadhlina, usaha tersebut turut melibatkan penyediaan kemudahan digital, latihan guru serta pembangunan bakat muda bagi memastikan murid bersedia menghadapi cabaran teknologi dan keperluan pekerjaan masa depan.

Beliau berkata, menerusi Kurikulum Persekolahan 2027, asas kecerdasan buatan akan diperkenalkan dalam mata pelajaran Teknologi Digital di sekolah rendah sebelum diperkukuhkan melalui mata pelajaran berkaitan di peringkat sekolah menengah.

Fadhlina turut menegaskan bahawa murid perlu dibimbing untuk menggunakan AI secara beretika termasuk mempunyai keupayaan menyemak fakta, menilai maklumat dan membuat pertimbangan yang tepat.

Katanya, KPM berharap pendekatan itu dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi, malah mampu memanfaatkan AI secara bertanggungjawab demi masa depan negara.

Must Watch Video

Advertisement