Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Lelaki mengaku bersalah guna kekerasan jenayah terhadap rakan sekerja wanita

Tertuduh (tengah) tiba di mahkamah dengan kenderaan polis. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Muhammad Zamri Abdullah (tengah) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid. -Foto Sinar Harian
Advertisement

MACHANG: Seorang pekerja kilang berstatus duda anak satu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Zamri Abdullah, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 22 tahun terbabit dengan bermaksud mencabul kehormatannya di sebuah kilang pengedar makanan dan minuman di Batu Jong di sini pada jam 1.40 petang, 3 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd Amran, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfaraliana Othman.

Pada prosiding itu, Ahmad Hazim menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, namun Norfaraliana memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM1,700 sebulan dan mempunyai seorang anak kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan syarat tidak menghampiri mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan pada 11 Ogos ini untuk fakta dan hukuman. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement