PUTRAJAYA: Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun meninggal dunia selepas pengsan ketika menyertai acara larian di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata mangsa dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan.
“Pihak hospital telah melakukan usaha resusitasi terhadap mangsa, namun gagal menyelamatkannya dan mangsa disahkan meninggal dunia pada 6.54 pagi.
“Hasil semakan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bedah siasat dijalankan di Hospital Putrajaya bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
-- BERNAMA