Ringkasan AI
- Seramai 3,200 peserta menyertai LIMA Run 2026 di Dataran DBKL bagi mempromosikan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027.
- Acara anjuran GEC bersama MINDEF ini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk ATM, wakil kedutaan, agensi kerajaan, industri dan orang awam.
- LIMA 2027 dijadual berlangsung pada 20 hingga 24 April di Langkawi, menampilkan inovasi teknologi pertahanan, maritim, aeroangkasa dan angkasa.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,200 peserta menyertai acara larian LIMA Run 2026 bagi menyemarakkan promosi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Acara anjuran Global Exhibitions & Conferences Sdn Bhd (GEC) penganjur bersama LIMA 2027 dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) itu menghimpunkan peserta pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), wakil kedutaan asing, agensi kerajaan, pemain industri serta orang awam.
GEC dalam kenyataan memaklumkan penganjuran kali kedua selepas edisi sulung pada 2024 menawarkan dua kategori larian, iaitu 5 kilometer (km) dan 7 km yang bermula serta berakhir di Dataran DBKL.
“Penganjuran ini diharap dapat terus memperkukuh penglibatan masyarakat serta meningkatkan sokongan terhadap LIMA 2027 menjelang penganjurannya pada April tahun depan,” menurut kenyataan itu.
Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman, Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Lokman Hakim Ali serta Pengerusi GEC Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin.
GEC turut merakamkan penghargaan kepada MINDEF, agensi terlibat, rakan strategik, penaja, sukarelawan dan semua peserta atas sokongan bagi menjayakan acara itu.
GEC memaklumkan penganjuran LIMA Run 2026 mendapat sokongan pelbagai penaja dan rakan strategik antaranya Spritzer, Global Turbine Asia, QUBE Integrated, Batik Air, Nestle MILO, Decathlon dan Affin Bank.
LIMA 2027 dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 April di Langkawi, Kedah dengan tema Sustainable Vision Across Sea, Sky and Space.
Pameran itu mengetengahkan inovasi dan perkembangan teknologi dalam sektor pertahanan, maritim, aeroangkasa dan angkasa selain membuka peluang kerjasama strategik serta pembangunan perniagaan pada peringkat serantau dan antarabangsa.
-- BERNAMA