KUALA LUMPUR: Sebanyak RM37.53 bilion dana dirampas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan siasatan kes jenayah mafia korporat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, kejayaan itu mencerminkan komitmen dan ketegasan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah kewangan, selain memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berkesan.
Bagaimanapun, Anwar menyerahkan kepada pihak penyiasat untuk memperincikan maklumat lanjut berhubung dana dan aset yang dirampas, dibekukan, disita serta dilucut hak, termasuk pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.
"Tadi saya telah menyebut tentang BNM dan SPRM. Kejayaan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dari akhir 2022 hingga akhir September 2026 menyaksikan sebanyak RM4.3 bilion berjaya dibekukan, RM1 bilion disita, RM48.3 juta dilucut hak dan kompaun berjumlah RM1.1 bilion dikenakan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang meminta menyatakan perkembangan terkini mengenai dakwaan kegiatan “mafia korporat” yang melibatkan pelanggaran hukum dan tindakan yang telah diambil selama ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keseluruhan dana yang berjaya dirampas dan dipulihkan kepada negara, dengan sebahagian daripadanya digunakan untuk menyelesaikan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, Pasukan AMLA Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan operasi penguatkuasaan, termasuk Op Banking, yang menyaksikan 70 individu disiasat setakat 2026.
Beliau berkata, tindakan pembekuan dan penyitaan dalam operasi itu melibatkan lapan bidang tanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 72 akaun dagangan saham bernilai RM323 juta serta 404 akaun bank berjumlah RM85.6 juta.
Selain itu, Ahli Parlimen Tambun itu memaklumkan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memulakan 239 pertuduhan jenayah terhadap 50 akaun atau individu sejak 2023 iaitu hampir tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Anwar berkata, SC turut meneruskan siasatan terhadap beberapa kes yang sebelum ini menyaksikan pertuduhan ditarik balik, termasuk kes Serba Dinamik serta kes berkaitan Sarawak Consolidated Industries Bhd.