Ringkasan AI
- Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu Ivana Smit atas dakwaan kecuaian siasatan.
- Panel tiga hakim memutuskan Mahkamah Tinggi tersilap menilai bukti dan undang-undang, serta tiada kewajipan undang-undang untuk membayar ganti rugi kepada waris individu.
- Mahkamah menegaskan polis masih bertanggungjawab menyiasat kes kematian Ivana Smit dengan teliti dan memberi maklumat berkala kepada keluarga mangsa.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model Belanda, Ivana Smit, berhubung dakwaan kecuaian dalam siasatan kematian anak perempuannya itu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohamed Zaini Mazlan, bersama Datuk Ong Chee Kwan dan K Muniandy.
Hakim Muniandy ketika membacakan keputusan itu berkata, panel berkenaan mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Julai 2025, termasuk semua perintah ganti rugi, faedah dan perintah mandatori.
Pada 29 Julai 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen dan memerintahkan kesemua defendan membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM300,000 sebagai ganti rugi teruk, RM300,000 sebagai ganti rugi teladan serta RM100,000 sebagai kos.
Mahkamah Tinggi turut mengarahkan Ketua Polis Negara (IGP) untuk menyingkirkan ASP Faizal Abdullah daripada pasukan petugas semasa dan memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan semula siasatan terhadap kematian Ivana Smit, seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini pada 2019, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner.
PDRM juga diarah memberikan taklimat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan mengenai kemajuan siasatan. AGC pula diarahkan untuk menilai sama ada bukti yang mencukupi telah dikemukakan dan menentukan sebarang tindakan susulan yang perlu diambil.
Verstappen memfailkan tindakan undang-undang terhadap Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat Dang Wangi ASP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan kecuaian serta pelanggaran kewajipan statutori dalam siasatan kematian anak perempuannya.
Ketika menyampaikan alasan penghakiman secara umum, Muniandy berkata mahkamah mendapati hakim perbicaraan terkhilaf dalam menilai bukti apabila menganggap dapatan dan nota keterangan daripada prosiding inkues serta semakan jenayah terdahulu sebagai bukti substantif yang konklusif dalam perbicaraan sivil secara de novo.
Beliau berkata inkues di bawah Bab 32 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) merupakan proses inkuisitorial bagi menentukan identiti si mati dan punca kematian.
“Perintah Mahkamah Tinggi Jenayah tahun 2019 yang menggantikan dapatan asal kepada ‘kematian akibat perbuatan individu atau individu-individu yang tidak dikenali’ merupakan satu penentuan penting dari segi perundangan yang menghendaki kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Ia bukanlah satu penghakiman antara pihak yang menetapkan wujudnya kesalahan tort yang boleh diambil tindakan undang-undang atau liabiliti sivil terhadap pegawai penyiasat,” katanya.
Muniandy berkata hakim perbicaraan telah secara tidak wajar mengutamakan dan menerima pakai dapatan dokumentari pakar patologi asing, Dr Frank van der Goot, tanpa memanggilnya untuk memberikan keterangan dan disoal balas semasa perbicaraan sivil, sedangkan pada masa sama menolak keterangan semasa daripada pakar patologi kerajaan tempatan.
“Ini telah menafikan hak prosedur asas perayu untuk menguji dakwaan saintifik berhubung mekanisme jatuh, toksikologi dan waktu kematian,” katanya.
Beliau berkata hakim perbicaraan telah melakukan kesilapan undang-undang asas dengan mewujudkan kewajipan berjaga-jaga di bawah common law yang perlu dipenuhi pegawai polis terhadap pengadu individu atau waris terdekat berhubung cara sesuatu siasatan jenayah dikendalikan.
Hakim berkata pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang mempunyai kewajipan awam secara umum terhadap masyarakat keseluruhannya untuk memelihara keamanan dan menyiasat jenayah, namun tidak mempunyai kewajipan berjaga-jaga di bawah undang-undang persendirian yang boleh membawa kepada pembayaran ganti rugi kepada mangsa individu atau saudara-mara mereka berhubung kecuaian, kelewatan atau kegagalan yang dianggap berlaku dalam siasatan.
“Rasional dasar awam adalah jelas. Penguatkuasaan undang-undang tidak boleh tertakluk kepada ancaman litigasi sivil persendirian oleh pihak yang tidak berpuas hati kerana ia akan menjejaskan kebebasan dalam pengagihan sumber dan melumpuhkan siasatan jenayah.
“Kebergantungan hakim perbicaraan kepada kes Kent v Griffiths adalah sama sekali tidak wajar kerana kes itu membabitkan kecuaian operasi oleh perkhidmatan ambulans kecemasan dan tidak terpakai terhadap pelaksanaan budi bicara pegawai penyiasat dalam siasatan jenayah,” katanya.
Muniandy berkata hakim perbicaraan turut terkhilaf apabila memutuskan bahawa Seksyen 20 Akta Polis 1967 serta Seksyen 107A dan 112 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) memberikan hak persendirian untuk mengambil tindakan bagi menuntut ganti rugi.
“Seksyen 20 Akta Polis menggariskan tugas umum pasukan polis untuk memelihara ketenteraman awam, manakala Seksyen 107A KTJ menyediakan mekanisme pentadbiran dalaman bagi melaporkan status sesuatu siasatan.
“Kedua-dua peruntukan itu tidak dimaksudkan oleh Parlimen untuk mewujudkan kausa tindakan persendirian bagi menuntut ganti rugi. Selain itu, perayu kedua bukan pegawai yang menjaga balai polis (OCS) di bawah Seksyen 107A,” katanya.
Hakim turut mendapati Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan undang-undang yang jelas apabila menganggap malfeasance (perbuatan salah) dan non-feasance (kegagalan bertindak) sebagai kausa tindakan berasingan yang berdiri sendiri dalam undang-undang tort.
“Di bawah perundangan tort Malaysia, kedua-duanya merupakan kategori deskriptif bagi sesuatu perlakuan dan bukannya tort khusus yang boleh dikenakan tindakan. Saman itu tidak memenuhi ambang pembuktian yang tinggi bagi unsur niat jahat untuk tort salah laku dalam jawatan awam,” katanya.
Muniandy berkata hakim perbicaraan gagal memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap bukti bahawa siasatan sebenarnya sedang berjalan bahawa satu pasukan petugas dan jawatankuasa pakar patologi telah ditubuhkan susulan Perintah 2019, Notis Biru INTERPOL telah dikeluarkan serta taklimat diberikan kepada Kedutaan Belanda.
“Walaupun langkah siasatan berdepan kelewatan dan kelemahan prosedur, keputusan sama ada untuk memohon Notis Merah INTERPOL, cara penugasan anggota dan kesimpulan forensik yang perlu dibuat berdasarkan kesan DNA adalah perkara jelas berada dalam ruang lingkup budi bicara penyiasatan. Hakim perbicaraan jelas terkhilaf apabila menganggap perkara operasi ini sebagai perlakuan tort yang boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Beliau berkata hakim perbicaraan bertindak melangkaui bidang kuasa dengan memerintahkan perayu kedua dikeluarkan daripada pasukan petugas siasatan dan mengarahkan PDRM melaporkan perkembangan kepada AGC setiap tiga bulan.
“Di bawah kerangka perlembagaan negara, penyeliaan, pengurusan dan pengarahan siasatan jenayah terletak secara eksklusif dalam bidang kuasa Eksekutif dan Pendakwa Raya. Adalah suatu pelanggaran terhadap doktrin pengasingan kuasa apabila mahkamah sivil, dalam tindakan persendirian bagi menuntut ganti rugi, mengambil alih kawalan penyeliaan terhadap anggota polis atau mengarahkan perjalanan harian sesuatu siasatan jenayah yang sedang berlangsung,” katanya.
Sementara itu, Hakim Muniandy turut merakamkan rasa hormat dan penghargaan yang mendalam terhadap hakim perbicaraan serta memuji penghakimannya yang komprehensif, yang menurut beliau dipandu oleh komitmen terpuji terhadap kesucian nyawa manusia, empati moral mendalam terhadap seorang ibu yang mencari jawapan mengenai kematian tragis anak perempuannya serta kewaspadaan wajar terhadap sikap leka institusi.
“Hakim perbicaraan tepat dalam mengetengahkan kelemahan yang amat membimbangkan dalam pengendalian awal lokasi kejadian, kecenderungan tergesa-gesa untuk mengklasifikasikan kematian itu sebagai bunuh diri serta kegagalan serius dalam komunikasi dengan keluarga si mati.
“Alasan penghakimannya menjadi peringatan penting kepada agensi penguatkuasaan undang-undang mengenai tahap ketelitian tinggi yang diharapkan orang ramai daripada mereka. Bagaimanapun, empati kehakiman, walau semulia mana sekalipun, tidak boleh mengatasi prinsip undang-undang yang telah mantap berkaitan liabiliti sivil, tafsiran statutori dan undang-undang keterangan,” katanya.
Hakim Muniandy juga mengeluarkan peringatan tegas kepada pihak perayu bahawa keputusan membenarkan rayuan itu tidak boleh, dalam apa jua keadaan, ditafsirkan sebagai tindakan yang membebaskan mereka daripada kelemahan masa lalu atau sebagai lesen untuk bersikap leka.
“Kematian Ivana di bumi Malaysia kekal sebagai satu tragedi yang belum terungkai, dan pihak polis masih terikat dengan kewajipan statutori berterusan mereka untuk meneliti setiap petunjuk yang berpotensi dalam siasatan kes bunuh yang telah diklasifikasikan semula itu,” katanya.
Menurut hakim, ibu bapa si mati yang masih berduka mempunyai hak yang tidak dapat dinafikan serta jangkaan yang sah untuk mengetahui kebenaran sepenuhnya mengenai apa yang berlaku terhadap anak perempuan mereka, sambil menambah bahawa polis mempunyai kewajipan untuk menjalankan siasatan dengan ketelitian yang tidak berbelah bahagi serta memberikan perkembangan secara berkala dan telus kepada keluarga berkenaan.
Mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos atas alasan mengenakan kos terhadap Verstappen adalah bertentangan dengan kepentingan keadilan dan nilai asas kemanusiaan.
Menerusi saman yang difailkan pada 20 Nov 2020, Verstappen mendakwa anak gadisnya ditemukan maut di tingkat enam Residensi CapSquare pada 7 Dis 2017 selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah unit kondominium milik pasangan Amerika, iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Wanita itu mendakwa pihak polis telah cuai apabila gagal menutup lokasi kejadian atau menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy serta gagal menahan, mengekstradisi dan memastikan kehadiran kedua-dua individu semasa prosiding inkues sebagai saksi utama.
Selepas prosiding, peguam Verstappen, Datuk Sankara Nair, berkata beliau dan anak guamnya amat kecewa dengan keputusan itu namun menghormati serta menerima keputusan mahkamah.
Beliau berkata mereka telah menggunakan setiap saluran yang ada dalam usaha mendapatkan keadilan dan akan mendapatkan nasihat mengenai kemungkinan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili perayu. Hadir sama pada prosiding itu Timbalan Duta Besar Kerajaan Belanda Pieter Blussé.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah keputusan Mahkamah Rayuan berhubung ganti rugi kepada ibu Ivana Smit?
A: Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu Ivana Smit. - Q: Apakah alasan utama Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi?
A: Mahkamah Rayuan mendapati hakim perbicaraan terkhilaf dalam menilai bukti dan membuat kesilapan undang-undang, termasuk menganggap dapatan inkues sebagai bukti konklusif dalam perbicaraan sivil dan mewujudkan kewajipan berjaga-jaga yang tidak diiktiraf undang-undang terhadap pegawai polis. - Q: Apakah tindakan undang-undang yang diambil oleh ibu Ivana Smit?
A: Ibu Ivana Smit, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, pegawai penyiasat Dang Wangi, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan kecuaian dan pelanggaran kewajipan statutori dalam siasatan kematian anaknya. - Q: Apakah dapatan Mahkamah Rayuan mengenai tanggungjawab polis dalam siasatan jenayah?
A: Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa polis mempunyai kewajipan awam untuk menyiasat jenayah dan memelihara ketenteraman, tetapi tidak mempunyai kewajipan undang-undang persendirian yang membolehkan mangsa atau waris menuntut ganti rugi atas kecuaian dalam siasatan. - Q: Apakah reaksi pihak Verstappen selepas keputusan Mahkamah Rayuan?
A: Peguam Verstappen menyatakan mereka kecewa dengan keputusan tersebut namun menghormati dan menerima keputusan mahkamah, serta akan mendapatkan nasihat mengenai kemungkinan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.