Skip to main content

Malaysia

Malaysia gesa ASEAN perkukuh keupayaan tindak balas bencana serantau

Menteri Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro (tengah) menyampaikan ucapan pembukaan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-20 di Mactan Expo, Cebu, Filipina, pada Rabu. - Gambar Reuters
Menteri Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro (tengah) menyampaikan ucapan pembukaan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-20 di Mactan Expo, Cebu, Filipina, pada Rabu. - Gambar Reuters

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa keupayaan tindak balas bencana serantau yang lebih kukuh, terselaras serta berkesan dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi menangani ancaman yang semakin kompleks dan saling berkait dihadapi rantau ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada negara anggota ASEAN, tanpa mengira sumber dimilikinya mampu menangani cabaran itu dengan sendiri sepenuhnya, yang menekankan keperluan untuk kerjasama serantau lebih erat serta kesiapsiagaan bersama. 

“Sehubungan dengan itu, Malaysia percaya ASEAN perlu berusaha ke arah membina keupayaan tindak balas bencana serantau yang lebih kukuh, terkoordinasi dan berkesan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-20 di Cebu, Filipina selama dua hari bermula hari ini.

Teks ucapan beliau dikongsikan kepada Bernama. 

Mohamed Khaled berkata, ancaman bukan tradisional tidak lagi menjadi kemungkinan yang jauh, sebaliknya telah menjadi kenyataan, berulang dan semakin sukar untuk diabaikan, sekali gus memerlukan ASEAN memperkukuh keupayaannya untuk mencegah, bersiap sedia dan bertindak balas terhadap krisis.

Mohamed Khaled berkata, tindak balas itu perlu bermula dengan inisiatif yang lebih proaktif dan terkoordinasi bagi memperkukuh keupayaan komuniti untuk bersiap sedia, bertahan serta pulih daripada kejutan tersebut.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan membangunkan keupayaan tempatan dan serantau yang kukuh bagi memastikan tindak balas berkesan apabila bencana berlaku.

Gesaan Malaysia berasaskan mekanisme serantau sedia ada termasuk ASEAN Military Ready Group on Humanitarian Assistance and Disaster Relief (AMRG on HADR) yang menyediakan kerangka kerja bagi menyelaraskan bantuan ketenteraan dan memudah cara pengaturan aset ketenteraan ke kawasan terjejas bencana.

Mohamed Khaled menjadikan tindak balas ASEAN terhadap gempa bumi di Myanmar pada tahun lepas sebagai contoh peranan mekanisme itu dalam usaha bantuan bencana serantau.

“Kita kini mesti memperkukuh kesiapsiagaan operasi, menambah baik penyelarasan dan memastikan angkatan tentera kita dapat bertindak balas dengan pantas serta berkesan apabila bencana melanda menerusi asas yang ada,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, keperluan untuk kerjasama lebih kukuh tidak hanya terhad kepada tindak balas bencana, memandangkan ASEAN berhadapan dengan persaingan strategik yang lebih besar, ketidakpastian dan ancaman keselamatan yang berkembang dengan pantas.

“Ketika ADMM memasuki dekad ketiganya, kita perlu bersedia untuk melakukan lebih daripada sekadar menghadapi ancaman baharu dengan pendekatan lama,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kesiapsiagaan bersama yang lebih baik, koordinasi lebih kukuh dan pelaburan berterusan dalam keupayaan perlu bagi memastikan kerjasama pertahanan memberikan manfaat nyata kepada rakyat.

Beliau berkata, keamanan dan kestabilan ASEAN tidak boleh diambil mudah dengan menambah bahawa kekuatan rantau itu bergantung pada kepercayaan bersama, pengurusan perbezaan secara konstruktif serta komitmen bersama terhadap kepentingan serantau.

“Malaysia kekal komited sepenuhnya untuk memperkukuh ADMM, mempertahankan Kepusatan ASEAN dan membina komuniti serantau yang lebih selamat serta berdaya tahan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, ADMM menjadi platform penting bagi kerjasama pertahanan praktikal, membina keyakinan dan tindak balas kolektif terhadap cabaran keselamatan bersama.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement