KUALA LUMPUR: Malaysia kekal komited menyalurkan bantuan pembangunan semula berjumlah RM100 juta kepada Gaza seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas, namun pelaksanaannya masih terjejas berikutan keadaan keselamatan yang semakin buruk di wilayah itu.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bantuan itu akan dilaksanakan apabila keadaan di lapangan lebih kondusif bagi memastikan penyalurannya berjalan dengan berkesan.
“Bagi melaksanakannya, keadaan di lapangan tidak mengizinkan kerana keadaan di sana bukannya bertambah baik tetapi masalahnya Israel lebih mengganas dan (sedang) memusnahkan Gaza,” ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Sejak 2023, sebanyak RM89 juta telah disalurkan menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin bagi membantu rakyat Palestin yang memerlukan, dengan lebih RM12 juta disalurkan pada tahun ini.
Sementara itu, Mohamad berkata beliau akan meminta penjelasan daripada Myanmar berhubung dakwaan kira-kira 300 rakyatnya yang dihantar pulang dari Malaysia masih ditahan oleh pihak tentera di Yangon.
Beliau juga berkata akan mengarahkan Kuasa Usaha Sementara di Myanmar untuk menyiasat dakwaan itu dan mendapatkan maklumat mengenai keadaan mereka yang dilaporkan ditahan.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata kerajaan akan terus menggunakan saluran diplomatik bagi mendapatkan pertimbangan pihak berkuasa Nepal berhubung pengisytiharan kematian pendaki Orang Kurang Upaya pendengaran Muhammad Hawari Hashim, yang hilang ketika turun dari puncak Gunung Everest tiga tahun lepas.
Beliau berkata usaha itu turut mengambil kira ordinan baharu yang diluluskan Presiden Nepal Ramchandra Paudel pada 9 Okt lepas, yang membolehkan pengisytiharan kematian mangsa banjir di daerah Rasuwa, termasuk 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan, tanpa perlu menunggu tempoh 12 tahun mengikut undang-undang negara itu.
Mohamad berkata Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu telah membangkitkan perkara itu kepada Kementerian Luar Nepal menerusi nota diplomatik pada 24 Mei 2023 manakala pertemuan dengan Jabatan Pelancongan Nepal turut diadakan pada 7 Julai lepas bagi memohon pertimbangan supaya pengisytiharan kematian pendaki itu dapat dikeluarkan.
Beliau berkata kementerian akan meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Nepal, selain membantu waris mendapatkan khidmat guaman bagi memohon perintah mahkamah berhubung perkara itu.
Mengenai krisis Asia Barat, beliau berkata Malaysia terus mempelbagaikan sumber seperti bekalan minyak mentah dan baja bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber, susulan krisis geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan global.
Mohamad berkata krisis itu memberi pengajaran bahawa negara perlu mempunyai sumber alternatif bagi memastikan bekalan keperluan utama tidak terjejas ketika konflik berlaku.
Menurut beliau, Malaysia turut meneroka peluang mendapatkan bekalan fosfat dari Algeria dan Jordan, yang berpotensi bekerjasama dengan syarikat tempatan dalam pengeluaran bahan itu untuk industri baja.
-- BERNAMA